Berita

RM 1.388 bilion untuk naik taraf 291 sekolah daif di Sarawak

- Diterbit 12 Ogos 2020 5:48 AM MYT

KERAJAAN telah meluluskan RM1.388 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) untuk projek naik taraf dan pembangunan semula 291 sekolah daif di seluruh Sarawak, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon berkata antara yang dilaksanakan ialah naik taraf atau membina bilik darjah, asrama, bangunan pentabdiran dan kemudahan lain.

Katanya sehingga 5 Ogos lepas, sebanyak 169 projek telah siap dengan 160 projek telah dikeluarkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Certificate of Partial Occupancy (CPO), manakala sembilan projek dalam proses mendapatkan CPO.

“Di samping itu, sebanyak 48 projek masih dalam pembinaan dan 74 projek dalam pelbagai fasa prabina. Perincian mengenai status semasa pelaksanaan setiap sekolah daif boleh diakses oleh orang awam melalui dashboard sekolah daif di portal KPM (Kementerian Pendidikan).

“Sehingga 5 Ogos lepas, sejumlah RM538.6 juta telah dibelanjakan bagi tujuan menyelesaikan kontrak kerja untuk naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di sekolah-sekolah di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (PH-Julau) yang meminta menteri pendidikan menyatakan senarai sekolah daif di Sarawak yang sedang dibaik pulih dan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk projek pembangunan semula sekolah-sekolah daif di Sarawak. – Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas