Berita

Politeknik Mersing cipta inkubator kesan pencemaran dalam sumber air terawat

- Diterbit 12 Ogos 2020 5:41 AM MYT

SEKUMPULAN penyelidik dari Politeknik Mersing (PMJ) di sini, berjaya mencipta inkubator mudah alih bagi mengesan bakteria Escherichia Coli (E-Coli) dan Coliform dalam sumber air terawat ataupun tercemar dalam tempoh yang lebih singkat.

Ketua Penyelidik Siti Farah Hussin berkata inisiatif melakukan inovasi itu tercetus apabila mendapati ahli mikrobiologi sering berdepan isu bagi menguji sampel air di kawasan punca air.

Beliau berkata kaedah tradisional bagi menjalankan ujian terhadap sampel air itu lazimnya dilakukan di makmal dengan mengambil masa yang lama kira-kira 18 hingga 24 jam selain menuntut pemerhatian lebih kerap dan proses ini dinamakan sebagai tumbesaran bakteria.

“Inkubator ini boleh digunakan secara sambungan arus terus (DC) iaitu dengan menggunakan punca bateri yang boleh bertahan sehingga dua hari (48 jam) ataupun menerusi plag biasa bagi mengenal pasti kehadiran bakteria E.Coli dan Coliform yang boleh dilakukan di mana-mana saja.

“Menerusi kajian yang telah dilakukan dengan makmal pusat Ranhill SAJ Sri Gading, Batu Pahat, inkubator ini dapat mengenal pasti kehadiran bakteria E.Coli dan Coliform dalam tempoh enam jam sahaja,” kata pensyarah daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi politeknik itu dalam satu temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti Farah berkata inkubator itu menggunakan teknologi pemprosesan imej dan Internet of Things (IoT) yang kedua-duanya merupakan elemen penting dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata inkubator itu juga disambungkan kepada telefon pintar yang dilengkapi dengan perisian QR Water yang dapat memasukkan data sampel air yang telah diambil selain melihat nilai ‘Most Probable Number’ (MPN) dan 95 peratus ‘confidence limit’ bagi mengesan kehadiran E.coli dan Coliform dalam sampel air.

“QR Water ini turut menggunakan teknologi ‘two-factor authentication’ (2FA) iaitu hanya pengguna yang didaftarkan dalam pangkalan data dapat menggunakan inkubator dan perisian QR Water ini.

“Pengguna perlu memasukkan kata laluan yang betul pada lapisan keselamatan pertama dan jika tepat pengguna akan melalui lapisan keselamatan kedua iaitu mengimbas jari pada telefon mereka,” katanya.

Inovasi itu telah mendapat tajaan Geran Penyelidikan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) ‘Applied Research Grant Scheme’ (T-ARGS) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang bernilai RM86,500.

Siti Farah berkata penyelidikan itu mendapat pengiktirafan bukan saja di dalam malah luar negara.

Turut terhasil ialah kertas kajian yang bertajuk ‘Detection of Escherichia Coli Bacteria: A Review of Image Processing Methods’ yang telah diterbitkan di International Journal of Software Engineering and Computer Systems (IJSECS).

“Kertas kajian ini juga telah dibentangkan di ‘The 4th International Conference on Research in TVET Studies’ (ICOR-TVET 2019) yang telah berlangsung di Universitas Pamulang, Indonesia.

“Selain itu, inovasi ini turut memenangi pingat emas di ‘2020 Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition’ (IPITEx 2020), BITEC Thailand pada Februari lepas,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Mersing di talian 07-7980001. – Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas