Rayuan dibenar, Tengku Adnan bebas daripada tuduhan rasuah RM2 juta
MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan. Gambar: Berita Harian

Rayuan dibenar, Tengku Adnan bebas daripada tuduhan rasuah RM2 juta

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bebas daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta hari ini setelah Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Hakim Datuk Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 itu berkata mahkamah mendapati cek RM2 juta yang diterima Tengku Adnan daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada UMNO.

“Kami bersetuju dengan peguam perayu (Tengku Adnan) bahawa pendakwaan terikat dengan keterangan saksi sendiri.

“Kami berpendapat bahawa keterangan Muhammad Saad Bordani, yang merupakan pegawai penyiasat, adalah penting kerana menunjukkan bahawa cek bernilai RM2 juta itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO untuk perbelanjaan pilihan raya kecil Sg Besar dan Kuala Kangsar pada 2016,” katanya.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy bersetuju dengan Hakim Suraya manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menentang.

Semasa membaca penghakiman itu, Hakim Suraya berkata mahkamah tidak menemui dalam mana-mana alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi bahawa beliau mempertimbangkan keterangan Chai yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 dan saksi pendakwaan keenam, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) Datuk Mohd Hasbi Jaafar bahawa cek RM2 juta telah dibelanjakan untuk pilihan raya kecil.

“Satu lagi perkara atau isu penting, yang juga gagal dipertimbangkan oleh hakim perbicaraan adalah kegagalan pihak pendakwaan untuk memeriksa semula saksi utama pendakwaan, Tan Sri Chai, berhubung keterangannya bahawa RM2 juta itu merupakan sumbangan politik untuk UMNO.

“Kami mendapati kegagalan terhadap perkara atau isu penting ini sama dengan bukan arahan yang menjadikan keyakinan itu tidak selamat,” kata Hakim Suraya.

Pada 21 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, yang dikenali sebagai Ku Nan, selepas mendapati beliau bersalah.

Tengku Adnan, 70, didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda. – BERNAMA

CATEGORIES