Berita

Penjadualan vaksin kumpulan pertama pemandu teksi, e-hailing telah dimulakan- Wee

KUMPULAN pertama melibatkan kira-kira 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing. Gambar: BERNAMA KUMPULAN pertama melibatkan kira-kira 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing. Gambar: BERNAMA
- Diterbit 16 Julai 2021 7:22 AM MYT

PROSES penjadualan pemberian vaksin COVID-19 bagi kumpulan pertama pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing yang melibatkan lebih 50,000 orang dalam perkhidmatan berkenaan telah dimulakan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan telah menerima senarai nama daripada pengendali dan syarikat perkhidmatan tersebut pada pertengahan Jun lepas dan kumpulan pertama itu melibatkan kira-kira 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh untuk menyegerakan proses vaksinasi pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing, Wee melalui Facebook beliau hari ini berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan memaklumkan mengenai jadual vaksinasi kumpulan terbabit.

Menurutnya, senarai tambahan  57,931 penunggang p-hailing juga telah diserahkan untuk pertimbangan CITF.

Memahami situasi pandemik COVID-19 ketika ini, Wee berkata pihaknya mensasarkan lebih 300,000 pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan p-hailing di Lembah Klang menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas