Selebriti

‘Ramai saja Melayu yang rajin’ – Zoey

- Diterbit 1 Disember 2023 1:35 AM MYT

ISU Makcik Kemboja yang mencetuskan kontroversi selepas rakaman video mengandungi kenyataan mendakwa Melayu malas yang tular baru-baru ini masih menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat.

Hal tersebut turut menyentuh hati pelakon dan pengacara, Zoey Rahman yang juga merupakan pemilik produk Mika Series yang menganggap dakwaan tersebut tidak berasas.

Sebagai majikan, dia mengakui sangat bangga kerana memiliki pekerja berbangsa Melayu yang memberi komitmen tinggi dalam pekerjaan mereka selama ini.

“Ramai saja Melayu yang rajin dan berjaya. Alhamdulillah saya bersyukur kerana dikurniakan kakitangan yang cukup rajin dan sentiasa mahu meningkatkan prestasi kerja. Mereka yang pernah bekerjasama dengan saya pasti tahu kecekapan pekerja saya di tahap mana.

“Jadi sejujurnya saya tidak setuju dengan kenyataan Makcik Kemboja yang secara tak langsung telah mencetuskan isu perkauman dan ia sangat sensitif. Dia sepatutnya menghargai kakitangan yang setia bekerja dengannya,” ujar Zoey.

Tambahnya, majikan dan pekerja saling bergantung antara satu sama lain. Disebabkan itu, kenyataan tersebut tidak sepatutnya keluar daripada seorang majikan.

“Majikan harus bijak memainkan peranan. Andai ada kelemahan, pasti ada cara untuk menegur. Saya tak pernah sentuh soal perkauman apatah lagi mahu menghina orang. Tak pernah terlintas sekalipun di fikiran saya.
“Pengguna produk saya terdiri daripada pelbagai kaum. Jadi, saya memang mengelak menyentuh isu seperti ini. Jangan sedap mulut saja nak keluarkan kenyataan.

“Semoga hal ini menjadi pengajaran kepada semua majikan atau sesiapa sahaja agar tidak menyentuh isu sebegini. Kalau ada majikan nak buat konten dalam media sosial, sila berhati-hati. Negara kita ada undang-undang. Jangan cabar,” tegas Zoey.

Terdahulu, pemilik gedung tekstil yang dikenali sebagai Madame Mariyah telah membuat permohonan ampun menerusi satu video dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu menghina Melayu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas