Selebriti

Izzue Islam setia hingga hujung nyawa

Created with RNI Films app. Profile 'None'
- Diterbit 1 Disember 2023 1:30 AM MYT

ACAP kali diajukan soalan tentang zuriat namun penyanyi dan pengacara popular, Izzue Islam atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 33, tidak pernah berasa rimas. Baginya soal rezeki adalah ketentuan Allah.

Genap 10 tahun melayari alam rumah tangga bersama isteri tercinta, Nurinafilah Waharudin atau mesra disapa Awin, dia mengakui zuriat bukan alasan untuk mencari cinta baharu.

“Saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang walaupun setakat ini belum diberikan rezeki zuriat, tapi Allah sentiasa limpahkan kami dengan rezeki kesihatan, rezeki kerja dan rezeki dikelilingi orang yang baik.

“Tiada anak bukan satu masalah besar malah cinta saya kepada Awin tetap setia hingga ke hujung nyawa. Ia tidak mengubah perasaan saya kepada dia. Namun setiap hari kami tidak henti berdoa memohon diberikan zuriat.

“Aturan Allah sentiasa tepat. Kita perlu sentiasa redha dan yakin bahawa Dia adalah sebaik-baik perancang. Ada yang dapat awal, tak kurang juga lambat malah ada yang tiada anak sampai ke hujung usia. Seandainya sudah ditakdirkan begitu, kami redha,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tidak putus berusaha, Izzue dan isteri merancang untuk melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) malah mereka sudah pun bertemu doktor pada tahun lepas.

“Alhamdulillah keputusan semuanya baik sahaja. Cuma doktor pesan kena ada masa untuk rehat sebab kalau kerja berterusan mungkin akan ganggu proses rawatan itu.

“Kami memerlukan jangka masa sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk menjalani proses berkenaan. Namun buat masa ini jadual saya agak padat terutamanya dalam pengacaraan. Ia melibatkan banyak pihak dan saya tidak menolak rezeki yang datang.

“Insya-Allah, sampai waktunya nanti, kami pasti buat,” ujarnya mengakui semakin bahagia dalam kesederhanaan yang dibina bersama isteri yang merangkap pengurus peribadinya.

Redha nanti rezeki

MENGINJAK 15 tahun dalam industri seni, tidak pernah terdengar rungutan atau keluhan daripada sesiapa sahaja tentang pelakon berkaliber ini malah Izzue masih kekal relevan sehingga ke hari ini.

“Tiada rahsia apapun kenapa masih diterima namun saya bernasib baik kerana isteri bijak menyusun jadual dan menguruskan saya. Dalam masa yang sama, saya perlu sentiasa fokus dan serius dengan apa yang dibuat.

“Ke mana pun kita pergi, sentiasalah merendah diri dan hormat pandangan orang sekeliling. Mungkin kadang-kadang pendapat berbeza, tapi semuanya boleh dibawa berbincang,” jelasnya.

Jika sebelum ini Izzue lebih dikenali sebagai pelakon dan penyanyi, kini dia dilihat aktif dalam bidang pengacaraan.

“Tak dinafikan, sekarang saya lebih banyak fokus pengacaraan. Iyalah, banyak tawaran jadi saya tak nak sia-siakan rezeki yang datang. Buat masa ini, setiap minggu saya mengacarakan rancangan Muzik Muzik 38 dan juga Famili Duo musim ke-3, bersama Janna Nick.

“Dalam bidang nyanyian pula, saya baru sahaja muncul dengan lagu Joget Mama Papa bersama Cat Farish dan penyanyi Indonesia, Sonia Richarda. Lagu ini dilancarkan di Indonesia.

“Sementara itu, dari segi lakonan pula, saya baru sahaja habis penggambaran siri drama Rindu Kasih 2 yang akan disiarkan pada awal tahun depan di TV3,” tambahnya lagi.

Menyedari hidup tidak boleh lari dari tekanan atau stres, Izzue akui beruntung apabila sentiasa ditemani isteri yang sanggup susah senang bersama.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah stres. Cuma tak ada yang perasan. Namun, semuanya menjadi mudah apabila saya banyak dibantu isteri dan sentiasa dikelilingi orang-orang positif,” ujarnya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas