Artikel

Ramadan pertama di Kuala Lumpur

SUASANA berbuka puasa bersama umat Islam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.
- Diterbit 7 April 2022 5:14 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

PETANG itu Ramadan pertama 1984. Suasana di Jabatan Pengarang Utusan Melayu sibuk – bunyi mesin taip membertih.

Banyak wartawan sudah balik daripada assignment (tugasan) dan ligat mengetuk di mesin taip untuk mengejar deadline (masa akhir) pukul 6 petang.

Saya berasa sangat lapar. Menggigil dan berpeluh. Kalau boleh mahu sahaja tidur di sofa tepi bilik telek.

Tetapi mana mungkin, saya wartawan yang baru sahaja beberapa bulan melapor diri. Tandatangan pun belum kering.

Itulah kali pertama saya tidak berpuasa bersama-sama keluarga. Sebelum itu sentiasa berbuka dengan adik-beradik serta ayah dan ibu.

Bagaimanapun pada 1984 saya melangkah ke garis baharu dalam kehidupan. Meninggalkan kampung dan bekerja di Kuala Lumpur.

Kenangan bulan puasa di kampung melintas di ingatan. Seperti ternampak ibu dan kakak-kakak sibuk memasak untuk berbuka.

Hanya juadah biasa orang kampung – gulai sepat benua, sayur kangkung yang dipetik di tepi tali air dan ikan haruan goreng.

Tidak ada istilah juadah luar biasa atau istimewa. Bagi anak kampung seperti saya, juadah biasa itu enaknya tidak terkata. Ingatan yang manis itu ternyata menyeksakan apabila berada jauh di perantauan.

Petang itu saya mula berkirakira di mana hendak berbuka puasa. Rasanya seperti tidak berdaya bergayut dalam bas mini yang sendat macam tin sardin mencari tempat berbuka puasa.

Sekitar pejabat ada satu sahaja gerai Melayu. Tetapi gerai Pak Lah High Chapparal di depan pejabat hanya menjual minuman dan roti.

Yang lain semua gerai Cina. Maknanya saya terpaksa berjalan kaki keluar ke Jalan Chan Sow Lin, naik bas mini dan turun di stesen Majestic.

Di situ mungkin ada gerai mamak. Hendak mencari makanan Melayu memang tidak ada, itu kawasan majoriti Cina.

Tiba-tiba dari pintu depan ada lelaki menjinjing dua bakul penuh dengan nasi bungkus dan diletak tidak jauh dengan Meja Luar Negara (Foreign Desk).

Di depan pengarangnya, Pak Yusop Sharif. Saya menyangka nasi bungkus itu dijual untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun berganda gembiranya apabila diberitahu nasi bungkus itu diberi percuma sepanjang Ramadan.

Dalam kelesuan saya mampu tersenyum hingga ke telinga. Rezeki berada di depan mata. Macam tidak percaya majikan saya menyediakan juadah berbuka percuma.

Kira-kira setengah jam sebelum berbuka, subeditor dan pengarang serta wartawan sudah berhenti kerja. Cuma ada seorang dua yang terangguk-angguk di depan mesin taip menyudahkan tugasan dan mengejar deadline malam itu.

Yang lain menuju ke bakul nasi bungkus dan mencapai sebungkus seorang.

Nasi ayam masak merah, buah kurma empat lima biji, sedikit sayur. Memang menyelerakan. Hari berikutnya menu diubah-ubah, tetapi lebih kurang sama juga. Kalau tidak ayam masak merah, ikan masak sambal dan sayur.

Waktu berbuka adalah suasana yang sangat harmoni. Semua yang berbuka puasa di pejabat makan juadah yang sama – nasi bungkus.

Tidak kira siapa mereka, pengarang atau pengarang kanan, subeditor dan wartawan termasuk yang baharu seperti kami. Semua makan bersamasama.

Tidak ada jurang antara yang tinggi dan paling rendah. Rasa segan juga makan berdepan dengan pengarang-pengarang yang menjadi ketua. Tetapi mereka seperti biasa sahaja. Bayangkan pengarang sesi malam macam Kadir Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang, Ali Salim (Jiro) makan dengan wartawan baharu seperti saya.

Semasa makan ada kala bersembang juga pasal kerja. Mereka bertanya itu dan ini sambil menyelitkan nasihat.

Tidak ketinggalan menceritakan pengalaman yang panjang menjadi wartawan. Saya terasa sangat kerdil. Ibaratnya buku yang sudah habis mereka baca saya baru bermula di halaman pertama.

Salah seorang pengarang yang digeruni ‘budak-budak baharu’ ialah Abdullah Hassan. Beliau agak garang.

Tetapi apabila beberapa kali terpaksa duduk di tepi beliau masa berbuka, Abdullah seorang yang mengambil berat terhadap wartawan di bawahnya.

Kali pertama tidak berbuka puasa dengan keluarga telah dianugerahkan pengalaman indah menikmati suasana yang sangat kekeluargaan.

Ini satu-satunya tradisi unik di Utusan Melayu – majikan menyediakan juadah berbuka puasa dan makan beramai-ramai di pejabat.

Menurut mereka yang sudah berpuluh tahun bekerja, tradisi ini bermula sejak pejabat operasi Utusan Melayu berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur tahun 1959. Sejak zaman Yusof Ishak (Presiden Singapura) menjadi Pengarah Urusan merangkap Pengarang Utusan Melayu.

Saya fikir ada tujuan lain yang lebih besar selain memberi makan percuma. Cara begini mewujudkan suasana yang sangat kekeluargaan, bukan sahaja antara petugas dengan ketua masing-masing. Keakraban ini mewujudkan keluarga besar Utusan Melayu.

Rasa kekitaan dan sama-sama memiliki syarikat begitu kukuh.

Tradisi ini memberikan kesan mendalam kepada saya. Walaupun mungkin juadahnya hanya biasa, tetapi sangat melekat di jiwa. Hal ini saya terus kenang sampai bila-bila.

Setiap minggu budak pejabat mengambil nama petugas yang berbuka puasa di pejabat pada minggu seterusnya.

Tidak semestinya yang bertugas, tetapi mana-mana petugas yang memilih berbuka puasa di pejabat.

Banyak kali juga hari saya yang tidak bekerja, tetapi datang berbuka puasa bersama teman-teman.

Seingat saya pada tahun-tahun terawal di Utusan Melayu, saya dan tiga rakan serumah – Wan Zulkifli Wan Yaacob, Zulkifli Ismail dan Idris Hamid banyak berbuka puasa di pejabat.

Hanya berbuka di luar apabila ada arahan pergi ke majlis berbuka puasa anjuran syarikat korporat atau kementerian.

Selalunya kami berempat mengambil lebih sebungkus nasi (memang ditempah lebih) untuk dibawa balik sebagai juadah sahur.

Tetapi terpaksa bersahur agak awal sekitar pukul 2 atau 3 pagi kerana bimbang makanan akan basi.

Pernah juga berlaku kami semua tidak bersahur kerana tidak seorang pun yang terjaga. Bila sedar sudah masuk waktu subuh. Nasi bungkus terus berbungkus. Berat hati hendak dibuang, hendak dimakan tidak boleh.

Wan Zulkifli yang berwatak tenang selalu menenangkan, “Tak apa, kita bukan membazir. Bukan macam orang lain yang terlupa saiz perut ketika membeli makanan.” Ketika keseorangan di tempat asing dan berjauhan dengan keluarga, sebungkus nasi sangat tinggi nilainya.

Setiap kali Ramadan tiba, kenangan dan pengalaman di Kuala Lumpur menjadi sangat manis.

Apa lagi singgah berteduh di syarikat Melayu yang sangat mengambil berat petugasnya. Ingatan kepada kawan-kawan pun menyerang dengan tibatiba. Di mana mereka pada Ramadan ini? – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas