Berita

Putus Dengan OKTOVIA MANROSE, ALFIE ZUMI Serik Kekasih Janda?

|ALFIE Zumi menganggap putus cinta dengan Oktovia kerana tiada jodoh antara mereka.|JOM sokong lagu Sudah Ditentu nyanyian Alfie Zumi.
- Diterbit 30 September 2020 8:21 AM MYT

PENYANYI rap yang semakin dikenali ramai, Alfie Zumi mengaku sudah putus cinta dengan pelakon berstatus ibu tunggal iaitu Oktovia Manrose, pada Mac lalu. 

Sudah merancang untuk berkahwin, Alfie Zumi,26, menganggap perpisahan secara baik itu disebabkan tiada jodoh antara mereka.

“Sebenarnya hubungan kami sudah mula pudar sejak akhir tahun lalu. Ketika itu dia shooting di Kelantan dan saya menjaganya anaknya yang berusia lapan tahun sepanjang dia berada di sana.

“Saya tiada masalah jaga anaknya kerana saya memang sukakan kanak-kanak. Namun ada beberapa masalah berlaku di hari terakhir dia di Kelantan yang membuatkan saya tawar hati. 

“Bukan itu sahaja, ditambah pula kontroversi yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini, membuatkan keluarga kurang bersetuju dengan hubungan kami,” katanya kepada Wilayahku.

ALFIE Zumi menganggap putus cinta dengan Oktovia kerana sudah tiada jodoh antara mereka.

Alfie Zumi yang popular dengan  lagu Sudah Ditentu ini menganggap pengalaman putus cinta itu satu pengajaran buat dirinya. 

“Sejujurnya, setelah apa yang berlaku saya yang minta putus. Dia ada cakap ini adalah antara hidup antara kami.

“Tetapi saya rasa tak sampai hati kerana keadaan itu membuatkan saya perlu memilih antara emak dan dia. Akhirnya saya memilih emak.

“Bila putus saya tak rasa ralat. Cuma ia satu pengajaran untuk saya sebelum berumahtangga kerana sebelum itu saya tak pernah bercinta dengan sesiapa pun. 

“Pengajaran ini agak besar bagi saya kerana sudah empat tahun bercinta dan kami sudah merancang untuk kahwin tahun ini. 

“Saya juga belajar daripada pengalaman lalu untuk tidak terlalu sayangkan orang yang belum jadi isteri saya. 

“Apa-apa pun saya tak salahkan dia sepenuhnya. Mungkin keadaan diri saya yang masih membina kerjaya juga menjadi puncanya,” ujarnya lagi yang masih solo tanpa kekasih namun tidak berharap untuk kembali bersama dengan bekas kekasihnya. 

Ditanya tentang gadis idaman Alfie mengaku tidak kisah status bakal kekasih atau isterinya nanti. 

“Pasal status bakal kekasih nanti, saya tidak kisah status dia janda atau belum berkahwin. Janji saya selesa dengannya  dan dia boleh bimbing saya juga. 

“Saya juga mahukan kekasih yang sopan santun, jaga aurat dan pandai jaga batas pergaulan,” katanya lagi yang pernah mencipta lagu kisah cinta bersama Oktovia berjudul Kisah Kita.

JOM sokong lagu Sudah Ditentu nyanyian Alfie Zumi.

Alfie Zumi yang juga finalis program Rap Star ERA ini mencipta lagu Sudah Ditentu ketika sambutan hari raya pertama lalu dan direkod dalam tempoh sehari sahaja.

“Ketika menghasilkan lagu Sudah Ditentu,  perasaan saya memang sangat down disebabkan masalah cinta dan keluarga, tetapi sebenarnya lebih kepada masalah cinta.

“Saya rasa macam dah banyak membuang masa dengan cinta. Cuma lagu ini tidak ada kaitan pun dengan kisah cinta saya,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas