Berita

Penjawat swasta ditahan ingkar perintah kuarantin

- Diterbit 30 September 2020 6:34 AM MYT

AKIBAT melanggar perintah kuarantin selama 14 hari, seorang lelaki berumur 50-an yang juga seorang pengurus sebuah syarikat swasta telah ditahan oleh polis Labuan semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek didapati telah masuk ke Wilayah Persekutuan Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada tarikh 27 September dan telah mendapat arahan perintah kuarantin (ANNEX 14b) bermula tarikh 27 September sehingga 10 Oktober.

“Suspek telah diarahkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan pada 29 September. Namun, setelah selesai ujian saringan tersebut suspek tidak balik menjalani perintah kuarantin dan sebaliknya terus ke pejabat kerajaan tersebut bagi urusan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini masih belum ada keputusan ujian saringan COVID-19 dikeluarkan untuk suspek dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

“Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan akan dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan bagi kesalahan pertama hukuman penjara tempoh tidak lebih dua tahun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas