Berita

Putrajaya juara dua kategori Mountain Bike 2019

NUR Deena Safia (tengah) bersama peserta kategori Wanita Elit.
NUR Deena Safia (tengah) bersama peserta kategori Wanita Elit.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2019 yang berlangsung di Taman Cabaran, Putrajaya pada 16 hingga 18 Ogos lalu menyaksikan Putrajaya berjaya menyandang juara bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu (Cross Country, Downhill) dan Lelaki Junior (Cross Country, Downhill).

Kejohanan yang didaftarkan di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini memberi tuah kepada peserta Wanita Elit, Nur Deena Safia Nor Effandy, 20, dengan catatan masa 1:31:53 dan Muhammad Fahmi Khairul, 18, pula 1:13:11 selepas kedua-duanya menjadi juara bagi kategori masing-masing.

Mengulas tentang kejayaan tersebut, Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Putrajaya, Abdul Halim Md. Yusoff berkata, kejohanan itu turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa oleh UCI dari segi kelancaran program.

“Alhamdulillah, melalui pengiktirafan itu juga, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berjanji untuk menjadikan Putrajaya sebagai tuan rumah bagi acara yang sama pada tahun hadapan.

“Di sini juga kita dapat melihat, Taman Cabaran melepasi ujian di piawaian peringkat antarabangsa yang mana mereka sendiri berpuas hati dengan segala fasiliti seperti trek yang terdapat di sini,” ujarnya.

Terdahulu acara yang berlangsung selama dua hari itu terbahagi kepada empat kategori iaitu Lelaki Elit (Cross Country, Downhill), Wanita Elit (Cross Country, Downhill), Lelaki Junior (Cross Country) dan Wanita Junior (Cross Country).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas