Berita

Aaliyah tetap bangga, puas hati

AKSI hebat Aaliyah tarik tumpuan peminat.
AKSI hebat Aaliyah tarik tumpuan peminat.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:03 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Biarpun hanya menduduki tempat ke-22 dalam acara slalom Kejohanan Ski Air Dunia (IWWF) 2019 yang berlangsung di Pusat Air Putrajaya pada 13 hingga 18 Ogos 2019 baru-baru ini, Ratu Ski Air Negara, Aaliyah Yoong Hanifah, 16, mengakui dia tetap berasa bangga dengan keputusan itu.

“Sungguhpun hanya berjaya di tangga tersebut dalam acara slalom, namun saya sangat berpuas hati. Bukan itu sahaja, saya turut gembira kerana maju ke peringkat akhir lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri.

“Pelbagai gaya telah cuba dilakukan dan ternyata ia adalah pengalaman yang amat menyeronokkan. Insya-Allah saya akan cuba melakukan persembahan yang lebih baik lagi di masa hadapan,” ujar peluncur muda ini lagi.

Dalam kejohanan tersebut juga, dia berjaya dinobatkan sebagai Peluncur Terbaik Asia yang pertama susulan pencapaiannya sebagai satu-satunya peserta wanita yang bersaing dalam semua jenis kategori yang dipertandingkan iaitu Slalom, Tricks dan Jump.

Pada peringkat akhir, Aaliyah menduduki tangga ke-10 dengan mengumpul 1984.63 mata dalam ketiga-tiga acara yang dipertandingkan.

Pada masa sama, salah seorang atlet ski negara, Nur Nadiah Hanani Md. Nasir, 21, berkata, biarpun tidak berpeluang beraksi di peringkat akhir dalam acara slalom namun dia turut berbangga kerana terpilih untuk beraksi pada kejohanan tersebut.

“Setelah berehat hampir lima tahun, ini merupakan peluang untuk saya kembali aktif. Insya-Allah pengalaman melakukan persembahan bersama atlet hebat dunia yang lain tidak akan dipersiakan,” ujarnya yang mengakhiri saingan di tempat ke-39 dengan keputusan 1.50/55/18.25.

Selain Aaliyah dan Nadiah, kejohanan ini turut disertai dua lagi peserta muda iaitu Aiden Yoong Hanifah, 13, dan Adam Yoong Hanifah, 11, yang merupakan adik kepada Aaliyah.

Sebagai rekod, seramai 167 atlet daripada 33 negara bertanding dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Peserta dari Kanada, Mc Clintock Rini Whitney mengungguli keseluruhan terbuka wanita dengan mata 2569.21 sementara peserta dari Republik Czech, Kolman Martin pula berada di tangga pertama keseluruhan terbuka lelaki dengan mata 2769.11.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas