Berita

PRU15: Hindari pasang bahan kempen di premis atau pepasangan elektrik TNB

- Diterbit 2 November 2022 6:30 AM MYT

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengingatkan parti-parti politik agar tidak memasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik milik syarikat itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula dari 5 hingga 18 Nov ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata perbuatan itu boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan boleh mengancam nyawa.

“Pemasangan bahan-bahan kempen itu juga boleh menghalang warga kerja TNB mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB menjelaskan bahawa larangan itu termasuk menampal atau menggantung poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Orang ramai juga dinasihati agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas