Berita

Eizlan, Idham antara calon PRU15 wakili Gerakan Tanah Air (GTA)

- Diterbit 2 November 2022 11:57 AM MYT

PRODUSER, Pelakon dan Pengarah, Datuk Seri Idris Md Yusof atau lebih dikenali Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham diumum sebagai calon mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) bawah Parti Pejuang yang bakal bertanding pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Dalam pengumuman di Pusat Konvensyen Bangi,  Ahmad Idham bakal merebut kerusi Parlimen Port Dickson manakala Eizlan dicalonkan di Parlimen Sabak Bernam.

Eizlan ketika ditemui, berkata beliau pada awal tidak meletak sebarang harapan untuk dicalonkan walau pun dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Ini adalah satu tanggung jawab besar yang harus saya pikul demi bangsa dan negara.

“Saya harap pembabitan saya di dalam politik memberi manfaat kepada semua, terutama Parlimen Sabak Bernam yang saya wakili,” katanya.

Dalam majlis sama, seramai 121 calon mewakili Pejuang, Gagasan Bangsa, Putra dan Berjasa serta calon individu diumumkan.

Malah beberapa lagi nama sedang dipertimbangkan dan akan diumumkan kelak.

Dalam pada itu, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemilihan ini kerana mereka mempunyai berintegriti, berpengalaman dan layak mewakili rakyat.

“GTA adalah gerakan Melayu yang sayangkan negara dan mahu melihat dibangun pesat, maju dan rakyat mendapat nikmat sama rata. Kalau rakyat beri peluang kepada GTA, banyak nikmat yang boleh diperolehi,” kata beliau.

Proses penamaan calon diadakan pada 5 November ini dan PRU15 pada 19 November depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas