Berita

Program Bantuan Khas Persekolahan YWP diteruskan ke Parlimen Batu

DATUK Zaizalnizam Zainun (belakang empat dari kiri), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat bergambar bersama penerima Sumbangan Bantuan Khas Persekolahan Yayasan Wilayah Persekutuan 202, Pada Rabu.
- Diterbit 30 Jun 2022 7:03 AM MYT

CAKNA dengan keperluan rakyat, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) meneruskan inisiatifnya membantu warga kota yang memerlukan dengan menghulurkan sumbangan Bantuan Khas Persekolahan kepada 500 pelajar terpilih di kawasan Parlimen Batu, pada Rabu.

Program kali ini melibatkan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut memberi sumbangan berupa satu unit beg sekolah dan wang tunai bernilai RM100 kepada pelajar golongan berpendapatan rendah (B40).

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, sumbangan tersebut atas keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selaku pengerusi YWP yang berasa terpanggil untuk membantu pelajar-pelajar selain mahu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa khusunya golongan B40 untuk membeli keperluan dan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

“Ia juga adalah antara peruntukan YWP sebanyak RM50,000 bagi penyaluran Bantuan Khas Persekolahan kepada pelajar-pelajar di sekitar Parlimen Batu. Diharapkan agar sumbangan ini dapat membantu mencukupkan apa-apa yang terkurang misalnya tidak cukup dari segi pembelian buku atau alatan sekolah,” ujarnya yang bercakap bagi pihak Menteri Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai bantuan diberikan pada pertengahan sesi persekolahan, Zaizalnizam menjelaskan pihaknya mahu membantu mencukupkan keperluan sekolah yang masih terkurang dan tidak mahu berlaku pertindihan pemberian sumbangan dengan mana-mana pihak selain negara masih lagi berhadapan dengan wabak COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu, Ghulam Muszaffar Ghulam Mustakim mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan YWP di atas keprihatinan menyalurkan sumbangan kepada pelajar-pelajar berkenaan.

“Kita tahu fasa ini kenaikan harga barang kian mendadak dengan situasi negara yang masih berperang dengan pelbagai penyakit, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan sekolah.

“YWP sentiasa membantu penduduk di sekitar Parlimen Batu misalnya tahun lepas mereka memberi sumbangan pakaian sekolah dan wang tunai kepada lebih kurang 2,000 pelajar selain turut membantu keperluan lain antaranya bantuan one-off kepada penduduk dan keluarga yang terjejas bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Ghulam berharap, program Bantuan Khas Persekolahan akan berterusan kerana melalui program seperti ini pelbagai pihak termasuk MPP dan NGO dapat membantu rakyat selain mengetahui keadaan kehidupan mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas