Cakna

PREPKOM PPR Sungai Bonus: Fokus aktiviti berteras pendidikan

KELAS tuisyen dan bacaan antara aktiviti yang dilaksanakan PREPKOM PPR Sungai Bonus
- Diterbit 26 Februari 2024 4:13 PM MYT

INISIATIF Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menubuhkan Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM) di 10 lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur menjadi wadah keilmuan yang memberi satu kemudahan serta manfaat kepada komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti berteraskan aspek pendidikan dilaksanakan di PREPKOM antaranya kelas tuisyen, kelas mengaji dan kelas bacaan.

Penyelia PREPKOM PPR Sungai Bonus, Nur Nadia Mansor berkata program-program berteraskan pendidikan telah sekian lama diadakan di PREPKOM di mana ia memberi peluang khususnya golongan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) mendapatkan pembelajaran melalui kelas-kelas yang disediakan.

“Semua sedia maklum, kewujudan PREPKOM di setiap PPR untuk membantu komuniti setempat mendapat akses tambahan di samping melaksanakan pelbagai aktiviti berkumpulan.

“Meskipun ruang ini kecil tetapi melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti kelas mengaji, kelas bacaan dan sebagainya sekurang-kurangnya mereka dapat memenuhi masa terluang dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Tambahnya sempena cuti sekolah ini, PREPKOM PPR Sungai Bonus memfokuskan kepada aktiviti bacaan khusus buat pelajar sekolah rendah bagi membantu dari segi kelancaran dan penguasaan bahasa.

“Selain itu, baru-baru ini juga kami telah menganjurkam program berselawat bersama pihak luar. Kita dapat lihat hampir 50 anak-anak di sekitar PPR ini hadir menyertai program tersebut.

“Secara amnya, budaya ilmu yang diwujudkan di ruangan PREPKOM ini sememangnya memberi kesan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak malah ibu bapa juga,” katanya.

Katanya lagi, sempena cuti sekolah ini juga, mereka turut mengadakan program infaq makanan. Sebanyak 50 bungkus makanan diagihkan kepada penduduk sekitar pada setiap hari Jumaat dan ia masih diteruskan.

Dalam pada itu, Nadia berharap agar penubuhan PREPKOM khususnya di PPR Sungai Bonus akan dimanfaatkan oleh penduduk serta segala aktiviti yang telah dirancang pada tahun ini dapat dilaksanakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas