Berita

Menara KL tingkat perkhidmatan

KL Towerthon Challange antara program tahunan yang sentiasa mendapat sambutan hebat.
- Diterbit 19 Februari 2024 4:06 PM MYT

MENARA Kuala Lumpur akan menggiatkan usaha dalam menambah baik perkhidmatan termasuk mempelbagaikan lagi tarikan sedia ada bagi meningkatkan peratusan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazli Saad berkata ia berikutan kejayaan bangunan mercu tanda di tengah ibu kota itu yang merekodkan kedatangan pelancong hampir satu juta sepanjang tahun 2023.

“Bagi tahun 2024, Menara KL sudah menyusun atur banyak program dan aktiviti menarik. Sebagai permulaan, kita telah pun melaksanakan program Surrrr… In The Sky, Nasi Kandaq Festival di mana sambutannya sangat luar biasa.

“Selepas itu, pada Februari ini, kita jiga mengadakan program sempena Tahun Baharu Cina manakala sebelum puasa pula, kita anjurkan sebuah program memasak bubur lambuk yang merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Insya-Allah ke hadapan, kita akan meneruskan program-program sedia ada dengan penambahan tarikan serta beberapa produk baharu antaranya kemudahan lif untuk individu yang menaiki kerusi roda atau Orang Kurang Upaya (OKU). Perancangan lain juga, kemungkinan kita akan perbesarkan bahagian observation deck dari aras TH01 ke aras TH04 di mana kawasannya lebih luas sekali gus boleh tampung lebih ramai orang,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran persaingan pembangunan baharu di Kuala Lumpur, Nazli berkata ia sedikit sebanyak mendorong Menara KL untuk merangka beberapa strategi khususnya aktiviti dan program bagi menarik kehadiran pelancong.

“Pada awalnya, ia memang memberi cabaran buat Menara KL tapi jika dilihat, kalau orang ramai ingin melihat pemandangan Kuala Lumpur termasuklah bangunan tarikan terbaharu iaitu Merdeka 118, mereka perlu datang ke sini juga,” katanya.

Nazli berkata Menara KL akan menawarkan lebih banyak produk baharu sebgai tarikan menarik kepada pelancong dlam dan luar negara.

Katanya, berdasarkan statistik yang direkodkan, lebih satu juta pengunjung dicatatkan namun 60 peratus daripadanya adalah dari luar negara manakala hanya 40 peratus sahaja daripada pelancong tempatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas