Berita

PPK Presint 9 berwajah baharu

PPK Presint 9 terletak di Kompleks Kejiranan Presint 9, Jalan P9E, Presint 9, 62250 Putrajaya.
- Diterbit 16 Julai 2023 1:00 AM MYT

PUSAT Pembelajaran Kejiranan (PPK) Presint 9 kini berwajah baharu selepas melangkah setapak lagi ke arah pewujudan perpustakaan digital.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, dengan mengetengahkan konsep yang lebih santai dan menyeronokkan, kunjungan ke PPK Presint 9 dijamin mampu meningkatkan lagi kepuasan pengguna dalam memanfaatkan perpustakaan.

“Seperti semua sedia maklum, perpustakaan digital merupakan platform yang menyediakan akses dalam talian kepada pelbagai jenis sumber maklumat seperti buku, jurnal, majalah dan banyak lagi.

“Untuk tujuan tersebut, PPK Presint 9 telah menyediakan akses jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat (Mbps) secara percuma untuk pengguna.

“Di samping itu, kita juga menyediakan lima unit iPad untuk memberi kemudahan bagi mengakses perkhidmatan perpustakaan digital u-Pustaka seperti e-Buku/Buku Audio, e-Surat Khabar, e-Majalah, e-Komik, e-Berita.

“Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memudahkan akses dan pertukaran pengetahuan dalam era digital,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, beliau berkata selain pilihan buku yang boleh dipinjam oleh para pengguna, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pelbagai sudut menarik seperti Ruang Santai, Ruang iDigital, Ruang Komik, Ruang Dewasa dan Zon Siber.

“Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan telefon pintar atau peralatan mudah alih sendiri memandangkan pihak PPK Presint 9 menyediakan pangkal kuasa (power port) dan ruang santai yang selesa dan kondusif,” jelas beliau.

Dalam masa sama, buat mereka yang berminat untuk menjadi ahli, Fadlun memberitahu keahlian PPK dibuka kepada semua warga Putrajaya dan penduduk dari kawasan sekitar Bangi, Kajang, Dengkil, Serdang dan Puchong yang merupakan warganegara Malaysia.

“Terdapat tujuh ketegori ahli iaitu dewasa, remaja, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dewasa, OKU remaja, OKU kanak-kanak dan warga emas. Untuk bayaran yuran keahlian pula adalah secara tahunan dan mengikut kategori ahli,” tambah beliau permohonan keahlian hendaklah dibuat di kaunter perkhidmatan PPK dengan mengisi borang keahlian yang disediakan.

Selain itu, beliau berkata warga Putrajaya digalakkan mengambil peluang untuk meneroka kemudahan yang disediakan dan datang sendiri untuk merasai pengalaman ditawarkan di PPK Presint 9.

Sehingga kini PPK telah mempunyai empat cawangan iaitu di Presint 8, 9, 11 dan 16. Waktu perkhidmatan juga telah dipanjangkan iaitu dari pukul 10 pagi sehingga 9 malam di atas permintaan pengguna. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas