Berita

PPj pergiat sanitasi kawasan tumpuan ramai

|SANITASI turut dilakukan di Pasar Awam Presint 8.|PEMBASMIAN kuman dilakukan secara menyeluruh di tempat awam.
- Diterbit 15 Oktober 2020 8:51 AM MYT

OPERASI nyah kuman ataupun sanitasi beberapa kawasan yang menjadi tumpuan ramai di sekitar Putrajaya akan dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah mencegah penularan COVID-19.

Kerja-kerja sanitasi yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kasihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Alam Flora dan SW Corp. itu telah mula dilaksanakan di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya.

SANITASI turut dilakukan di Pasar Awam Presint 8.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Putrajaya, Che Shari Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 11 lokasi dikenal pasti untuk kerja-kerja sanitasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan mulai 14 hingga 27 Oktober ini.

Beliau berkata, operasi sanitasi di Pasar Awam Presint 8, melibatkan kekuatan 40 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi yang terlibat bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan serta menyah kuman sebagai usaha awal mencegah jangkitan COVID-19.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 12 pegawai dan kakitangan JBPM terlibat dalam operasi hari ini yang mengambil masa lebih sejam untuk kita selesaikan sepenuhnya.

“Lokasi seterusnya untuk kerja-kerja sanitasi ini akan diputuskan di dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan serta PPj bagi menjamin kelancaran operasi yang akan dibuat,” katanya selepas operasi sanitasi di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya , hari ini.

PEMBASMIAN kuman dilakukan secara menyeluruh di tempat awam.

Turut hadir Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain dan Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Mengulas lanjut, Che Shari berkata, antara lokasi yang terlibat secara dasarnya adalah kawasan tumpuan ramai termasuk kawasan perumahan, pusat membeli belah, pasar awam dan sekolah yang dilihat antara kawasan berisiko tinggi untuk menjadi tempat penularan wabak COVID-19 fasa ketiga ketika ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas