Berita

15 militan maut, 26 cedera dalam letupan bom kereta, pertempuran bersenjata di selatan Afghanistan

- Diterbit 15 Oktober 2020 8:26 AM MYT

SEKURANG-KURANGNYA 15 militan disahkan terbunuh dan 26 yang lain termasuk enam anggota polis cedera dalam kejadian letupan bom disusuli dengan pertempuran bersenjata yang menyasarkan sebuah markas polis di luar bandar Qalat, di selatan wilayah Zabul pada Khamis, kata Ketua Polis wilayah Hekmatullah Kuchi.

“Pemberontak Taliban meletupkan kenderaan tentera yang sarat dengan bahan letupan bersebelahan markas polis di daerah Norak 40 kilometer di luar ibu kota wilayah Qalat pagi ini dan ia disusuli pertempuran bersenjata dan membunuh 15 militan selain mencederakan lebih 20 yang lain,” kata Kuchi kepada Xinhua.

Enam anggota polis turut cedera akibat letupan dan pertempuran itu, kata pegawai berkenaan.

Beliau menambah militan yang melakukan serangan turut terbunuh dan keadaan terkawal.

Militan Taliban, yang telah meningkatkan aktiviti sepanjang 10 hari terakhir untuk menawan Helmand, Lashkar Gah, masih belum memberikan komen. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas