Berita

Politik stabil, penentu prestasi kerajaan – Annuar

TAN Sri Annuar Musa mengingatkan sesetengah pihak agar menyantuni golongan gelandangan atau dikenali sebagai Hijrah Warrior dengan penuh hormat.
- Diterbit 13 Januari 2021 11:22 AM MYT

TIGA parti utama Melayu, UMNO, Bersatu dan PAS mampu menamatkan kemelut politik yang terjadi dalam gabungan, sekiranya persefahaman sedia ada terus diperbaiki.

Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, perkara tersebut adalah misinya bagi melihat politik distabilkan supaya kerajaan mentadbir secara berprestasi dan menyumbang kepada rakyat.

Beliau berkata, teras kepada kestabilan itu adalah persefahaman yang terbentuk antara PAS, UMNO dan Bersatu dalam gabungan itu perlu diperbaiki seterusnya mampu menamatkan kemelut politik yang tercetus.

“Kalau salah satu parti tidak ada, ia seperti suatu gabungan yang tempang. Jadi, ketiga-tiga parti perlu meletakkan aspek kestabilan negara sebagai keutamaan dan ketepikan sentimen peribadi.

“Apa yang penting dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, politik negara perlu stabil. Tidak boleh lagi ada parlimen digantung atau tak boleh lagi bertukar kerajaan,” katanya dalam temubual bersama sebuah portal berita, semalam.

Ahli Parlimen Ketereh tersebut turut menzahirkan keyakinan bahawa ketiga-tiga parti yang menjadi tonggak kerajaan semasa, mampu menamatkan kemelut politik yang tidak stabil ketika ini.

Katanya, perkara itu dapat dicapai melalui usaha mewujudkan kestabilan, iaitu BN dalam Perikatan Nasional bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),

Selain itu, Annuar turut menggesa supaya semua pihak terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS, Bersatu dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, tidak mengapa dirinya disingkirkan daripada jawatan dalam parti dan tiada sebarang pergaduhan berlaku antaranya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan kekalkan hubungan baik dengan PAS, Bersatu dan PM, saya mahu lihat semua parti ini kembali (mentadbir bersama). Jadi prinsip untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan sesiapa yang berkhidmat untuk parti itu kekal,” katanya.

Annuar sebelum ini disingkirkan dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN dan pemecatan itu didakwa berpunca daripada desakan akar umbi parti, kononnya 189 bahagian UMNO kini menolak kerjasama dengan Bersatu.

Selain itu, Bersatu dan Presidennya, Muhyiddin turut menerima tekanan susulan dari gesaan oleh beberapa pemimpin termasuk Zahid supaya PRU diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, segala usaha untuk menggugat kerajaan pimpinan Muhyiddin terhenti berikutan pengisytiharan darurat sehingga Ogos ini, yang turut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa pihak dalam UMNO sebelum ini angap Annuar lebih cenderung kepada Bersatu dan ia dipercayai menjadi antara sebab beliau disingkir daripada jawatan tersebut dan digantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN.

Dalam temubual itu, Annuar juga Menteri Wilayah Persekutuan tanpa berselindung mengatakan, masalah yang timbul dalam PN adalah berpunca daripada UMNO sendiri.

“Masalahnya datang dari UMNO, GPS no problem. PAS no problem. Parti lain juga no problem.

“Kalau UMNO boleh baiki (hubungan dalam PN). Insya-Allah kerajaan akan stabil,” katanya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas