Berita

KKMM tidak akan kompromi isu Twitter MCMC – Saifuddin

- Diterbit 13 Januari 2021 12:20 PM MYT

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkenaan isu yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Saifuddin berkata kementerian akan bertindak secara telus dalam menangani isu tersebut, dan sekiranya didapati berlakunya kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada mereka masih lagi berkhidmat di MCMC ataupun tidak.

“Saya memandang serius isu tular tentang ciapan tidak senonoh pada tahun 2014, yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter MCMC.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dari semua sudut, termasuk tatacara pengendalian akaun Twitter tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akaun Twitter rasmi MCMC digantung buat sementara, berikutan diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti dilaporkan semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas