Berita

Polis terima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Dr Muhammad Akmal Saleh

- Diterbit 5 April 2024 1:01 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Siastaan telah dijalankan ke atas beliau (Muhammad Akmal).

“Kemudian kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasaan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Razarudin menasihati orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah.

Terdahulu media melaporkan, Dr. Muhamad Akmal Saleh memaklumkan dirinya telah ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu lantang bersuara mengenai kontroversi stoking dengan kalimah Allah yang didapati dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas