Berita

MCMC akan panggil individu mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran

- Diterbit 5 April 2024 1:00 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan akan memanggil individu terbabit hantaran mesej memburukkan kerajaan mendakwa tiada pertandingan majlis tilawah al-Quran dilaksanakan negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kesemua individu terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan pengesanan telah dijalankan.

Menurut Fahmi, tindakan menyebar fitnah adalah satu kesalahan tidak bermoral bukan sahaja terhadap kerajaan tapi juga membabitkan agama Islam dan Institusi Raja.

“Ini peringatan kepada semua, sekali lagi saya sebut seperti kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan pihak MCMC untuk tidak memasukkan bahan atau komen menyentuh 3R (agama, bangsa, raja) kerana kita sudah diminta bertindak lebih tegas oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Langkah pertama yang akan dilakukan adalah, mereka yang terbabit dalam penghantaran mesej ini akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi mengesan satu hantaran mesej tersusun memburukkan kerajaan dengan mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran pada tahun ini.

Fahmi dipetik sebagai berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC untuk meneliti dan mengenal pasti mereka yang terbabit dengan ‘operasi’ itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya mengesan hantaran mesej tersusun itu sejak Februari lalu.

“Cukup-cukuplah, seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong, saya dan pihak MCMC, sudah tiba masanya untuk buat kerja,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas