Berita

Polis tahan warga Israel bersama enam pucuk pistol

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Mac 2024 8:40 PM MYT

POLIS menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek, yang turut memiliki pasport Israel, dipercayai datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

“Semasa tangkapan, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menemukan enam pucuk pistol dengan tiga daripadanya berisi peluru penuh selain terdapat 200 peluru lain.

“Memandangkan isu yang berlaku di Palestin dan Israel, kita juga waspada terutama dalam aspek keselamatan serta meningkatkan kawalan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin juga berkata semua senjata yang dirampas daripada suspek dipercayai diperoleh di Malaysia dan tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai rangkaian di dalam negara.

Antaranya ialah Glock 19 Mariner, Glock 17 Gen4, Smith & Wesson, SIG Sauer serta Stoeger dan semua senjata dibeli menggunakan mata wang kripto.

Ditanya sama ada suspek terlibat dalam aktiviti pengintipan, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara itu.

“Mungkin suspek ada agenda lain datang ke negara ini dan telah menetap sekurang-kurangnya di dua hotel berlainan sejak memasuki UAE,” katanya.

Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas