Berita

PM mahu program digital dilaksana lebih drastik

- Diterbit 8 Januari 2024 9:49 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program digital dilaksanakan dengan lebih drastik dan agresif bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain.

Jelasnya, penubuhan Kementerian Digital dalam rombakan kabinet yang lalu dilakukan bagi memberi fokus dalam bidang berkenaan.

“Program digital harus dilakukan drastik, agresif daripada yang dahulu, kalau tidak kita akan ketinggalan, begitu juga program lain di kementerian lain umpamanya digital.

“Saya tidak fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas, dengan tahap kelajuan yang dicapai oleh negara lain tanpa fokus dalam bidang digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di PUSPANITAPURI di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas