Berita

PM Anwar beri sumbangan peribadi kepada waris dua mangsa nahas Elmina

- Diterbit 26 Ogos 2023 3:15 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga dua mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, minggu lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar  berkata sumbangan itu disampaikan melalui setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, semalam, semasa menziarahi waris Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali, di Kampung Ketari, Bentong.

Idris merupakan pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam insiden itu.

Anwar berkata Ahmad Farhan juga menziarahi dan menyampaikan sumbangan beliau kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di Felda Mempaga 1, Karak.

“Saya turut berdukacita dan mendoakan agar keluarga terus diberikan kekuatan serta ketabahan yang tinggi saat diuji dengan ujian besar ini,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas