Berita

PL nafi dakwaan sebuah portal berita mengenai tindakan penurunan gegantung ‘ Zon Merah’

||
- Diterbit 27 Mei 2021 7:23 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menafikan laporan sebuah agensi berita mengenai tindakan penurunan sementara 200 gegantung notifikasi zon merah COVID-19 yang dipasang di tiang lampu jalan di sekitar pulau ini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr Fary Akmal Osman menjelaskan, pihaknya sebelum itu tidak menerima sebarang maklumat berhubung jumlah sebenar gegantung yang dipasang dan lokasi pemasangan gegantung.

Katanya, susulan laporan itu, ia dilihat bercanggah berikutan bilangan gegantung yang sebelum ini ‘jauh’ berbeza daripada jumlah sebenar hingga menimbulkan kegusaran orang awam.

“Hanya 35 unit gegantung sahaja yang diberi permit dan direkodkan oleh Jabatan Pelesenan PL.

“Kami telah menghubungi Jabatan Kesihatan Labuan berhubung penurunan sementara gegantung terbabit.

“Penurunan itu bertujuan mengelakkan daripada timbul isu keselamatan awam susulan kami menerima aduan berhubung kesesuaian lokasi gegantung.

“Malah, cara penggantungan juga didapati membahayakan keselamatan khususnya kepada pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Fary, menjadi tanggungjawab PL dalam memastikan kesesuaian lokasi bagi sebarang bahan iklan bercetak yang dipasang untuk keselamatan awam mengikut Peraturan dan Undang-undang Kecil Iklan 1991.

Oleh yang demikian, beliau berkata, sebarang permohonan untuk pemasangan gegantung perlu dirujuk kepada PL untuk semakan dan pertimbangan sebelum diberikan kelulusan.

“Kami sentiasa memberikan perhatian dan kerjasama dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Semua pihak diminta bersama-sama membendung pandemik ini dengan mengutamakan keselamatan penduduk Labuan dan menghormati peraturan-peraturan yang berkuatkuasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas