Berita

PL fokus pendekatan 5S tahun 2024 perkasa sektor pelancongan

PULAU Papan merupakan salah satu pulau indah yang terdapat di Labuan. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Januari 2024 11:40 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) memfokuskan konsep pendekatan 5S bagi memantapkan industri pelancongan di pulau itu sepanjang tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata pendekatan yang dilaksanakan itu bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian dan keunikan yang ada di pulau itu kepada pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, pendekatan 5S itu termasuklah fenonema matahari terbit dan terbenam, pantai yang bersih, makanan laut segar, bebas cukai dan akitiviti sukan laut.

“Dengan adanya keistimewaan yang ada di Labuan seperti makanan laut yang segar dan mampu milik sudah pastinya menjadi salah satu tarikan pelancong ke Labuan untuk menikmati makanan tersebut.

“Selain itu, Labuan juga dikenali sebagai pusat aktiviti sukan laut bertaraf antarabangsa seperti Labuan International Sea Challenge yang telah menjadi sukan tahunan dan mendapat penyertaan menggalakkan dari negara luar,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai perancangan Perbadanan Labuan dalam industri pelancongan bagi 2024, beliau berkata pihaknya telah menyeru semua agensi- agensi kerajaan untuk membantu mempromosikan industri pelancongan di Labuan.

“PL telah bekerjasama dengan pelbagai sektor agensi kerajaan dan swasta untuk bersama-sama mempromosikan industri pelancongan dengan pendekatan 5S.

“Sepertimana yang diseru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke Labuan baru-baru ini, beliau meminta menteri dan kementerian-kementerian untuk datang bagi melaksanakan pelbagai program bukan sahaja dari segi pelancongan malahan program-program kesejahteraan rakyat Labuan.

“Saya berharap pada tahun ini menjadi tahun kesibukan Labuan dalam menerima kedatangan pengunjung dan pelancong ke sini sekali gus menjadikan pulau ini sebagai satu nilai tambah dalam pakej pelancongan mereka,” jelas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas