Berita

Piala dunia hoki remaja wanita: Malaysia bangkit atasi Uruguay

PASUKAN negara dikejutkan dengan jaringan awal namun bangkit dengan jaringan 2-1 menetang Uruguay untuk memastikan kemenangan.
- Diterbit 8 April 2022 5:05 AM MYT

KEMENANGAN tipis 2-1 ke atas Uruguay melayakkan skuad wanita muda negara untuk beraksi pada pusingan penentuan kedudukan kesembilan hingga ke-12 di pentas Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 semalam, pasukan negara terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pukulan sudut penalti Elisa Civetta pada minit ke-35.

Tersentak dengan jaringan lawan, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu bangkit dengan menjaringkan dua gol padang dalam tempoh selang seminit pada suku keempat perlawanan, masing-masing menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-53 disusuli jaringan Nuramirah Shakirah Zulkifl pada minit ke-54, dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia dijadual bertemu Ireland esok bagi pusingan penentuan tempat kesembilan hingga ke-12.

Skuad remaja kebangsaan sebelum ini gagal mara ke peringkat suku akhir selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan D dengan hanya satu mata.

Malaysia membuka tirai kempen kumpulan dengan mengalami kekalahan besar 0-10 kepada Jerman, diikuti seri 3-3 menentang Wales dan tumpas 0-4 kepada India. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas