Artikel

Pesta buku dan citra negatif

- Diterbit 15 Disember 2023 11:00 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SELEPAS 10 hari, Pesta Buku Antarabangsa Selangor melabuhkan tirainya Ahad lepas. Sebagaimana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, pesta buku ini penuh dengan orang Melayu walaupun namanya antarabangsa.

Ketika penulis tiba, seorang penulis buku berbahasa Inggeris sedang membedah bukunya. Walaupun pesta ini penuh dengan buku berbahasa Malaysia, nampaknya pihak penganjur cuba untuk memasukkan unsur antarabangsa iaitu bahasa Inggeris dalam pesta buku ini.

Penulis berjumpa dengan dua kenalan dalam pesta buku ini. Satu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berada di reruai pameran bukunya dan seorang lagi adalah penerbit buku Tafsir Tok Guru yang memaparkan karya-karya buku oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tokoh besar yang telah meninggalkan kita.

Berbual dengan dua kenalan ini, penulis merasakan citra negatif terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun kedua-dua kenalan ini adalah penyokong kuat PMX.

“Tadi ada seorang pengunjung datang membelek-belek buku Tok Guru Nik Aziz yang kami hasilkan. Tetapi tiba-tiba dia terpandang buku PMX yang kami turut jual di gerai kami ini.

“Dia terus bertanya, ada juga jual buku ini ye kat sini. Tak jadilah saya nak beli buku Tok Guru,” cerita kenalan saya itu tentang citra negatif kerajaan yang ada yang beliau rasai dari pengunjung gerainya.

Kenalan saya itu terus bertanya, “Kenapa ye. Media kita tidak berkesan ke sehingga ramai orang Melayu yang bersikap macam ini. Padahal saya nampak, PMX sangat bagus.”

Perbualan yang tamat dengan persoalan tentang media di gerai buku Tafsir Tok Guru bersambung apabila saya berjumpa dengan Dr Maszlee Malik.

Dr Maszlee mengajak saya sembang panjang di pejabat beliau yang terletak di belakang kampus Universiti Malaya.

“Datanglah Sheikh, kita sembang panjang. Banyak perkara nak bincang ni,” kata Dr Maszlee apabila saya bertanya khabar beliau selepas tidak lagi menjadi menteri.

Menurut Dr Maszlee, beliau juga agak sukar sekarang dalam menjalankan tugas sebagai Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Atudies (IAIS) Malaysia.

“Sukar juga. Kami laksanakan apa yang Wisma Putra tak nak buat,” kata Dr Maszlee kepada penulis menceritakan tentang tugas beliau di IAIS.

Apabila ditanya, apakah beliau dibekalkan dengan dana yang cukup untuk melaksanakan kerjanya, Dr Maszlee mengembangkan tangannya tanda kesukaran yang dihadapi tentang dana.

Nasib yang dialami Dr Maszlee hampir sama dengan nasib penggerak media penyokong kerajaan. Kami hadapi masalah dana untuk menjalankan tugas dengan baik.

Selepas setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, PMX nampaknya sangat berhati-hati dengan dana. Beliau tidak mahu mengulangi sikap kerajaan sebelum ini yang berbelanja ratusan juta setahun untuk media.

Di dalam parlimen, PMX telah menegaskan beliau hanya akan memperuntukkan tidak sampai 100 juta untuk media dalam belanjawan kerajaan untuk tahun 2024 ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas akan memberikan tumpuan kepada ekonomi rakyat dalam tempoh tahun kedua pentadbiran beliau.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut merasai tumpuan PMX.

“Saya yakin, rakyat akan mulai merasai kesan pemulihan dan kemajuan ekonomi yang kita bina mulai tahun depan ini,” kata Fahmi kepada penulis dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini.

Selain Fahmi, Inisiatif Ekonomi Madani yang dilaksanakan PMX mendapat markah A hasil kaji selidik dibuat sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) serta dua badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini, lapor Berita Harian.

Kaji selidik selama 34 hari dari 1 November ke 4 Disember 2023 itu yang bertajuk ‘Inisiatif Madani: Penerimaan Rakyat’ menunjukkan semua soalan yang ditanyakan mendapat lebih 50 peratus tanda sokongan dengan tindakan diambil kerajaan.

Tujuan kaji selidik ini dijalankan adalah bagi membolehkan satu rumusan objektif dibuat mengenai tahap penerimaan rakyat ke atas berbagai-bagai Inisiatif Ekonomi Madani yang telah diumumkan oleh Anwar dan Kerajaan Perpaduan sejak beliau mula menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022 dan Menteri Kewangan pada 3 Disember 2022.

Seramai 4,606 responden dipilih dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata daripada sejumlah 21,473,409 pengundi berdaftar yang diwartakan pada 3 Oktober 2023 merangkumi semua kaum, jantina dan peringkat umur di kesemua 222 Parlimen di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Mereka telah dihubungi secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram serta melalui panggilan telefon atau ditemu bual secara tatap muka.

Responden telah ditanya mengenai tahap penerimaan mereka ke atas 30 Inisiatif Ekonomi Madani yang telah diumumkan Perdana Menteri.

Hasil maklum balas yang diberikan oleh responden menunjukkan Inisiatif Ekonomi Madani ini mendapat markah A, iaitu sebanyak 82 peratus (2457/3000), lapor media itu lagi.

Kita berharap, kemajuan ekonomi ini dirasai dengan jelas oleh rakyat. Ini kerana, jika mereka tidak dapat merasainya dengan jelas, tanpa peranan media yang berkesan, usaha bersungguh-sungguh PMX dan kerajaannya ini tidak akan meresap ke hati rakyat.

Kita berdoa agar ia tidak berlaku walaupun pihak pembangkang berusaha siang dan malam untuk menutup citra positif yang cuba dibawa oleh kerajaan ini. – WILAYAHKU

Penulis adalah penggiat media yang berusaha untuk menyampaikan citra positif Kerajaan Perpaduan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas