Artikel

Hrithik tak jadi datang!

- Diterbit 15 Disember 2023 12:20 PM MYT

ALAHAI… Tidak jadi datang pula pelakon sensasi Bollywood, Hrithik Roshan ke Kuala Lumpur. Pelakon ­berusia ­49 tahun itu membatalkan kunjungan berikutan pembatalan konsert ‘The Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert’. Dia sepatutnya muncul sebagai bintang utama.

Kawan-kawan Kedai Kopi rasa tentu peminat Hrithik kecewa. Mungkin ramai yang telah membeli tiket konsert tersebut yang dijadual akan diadakan 1 Disember lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiket mula dijual pada bulan Oktober. Namun pada 27 November, Kumpulan Yes Boss Group, salah satu daripada tiga syarikat penganjur, mengumumkan konsert tersebut ditangguh kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Tidak dinyatakan secara spesifik sebab berkenaan.

Dua lagi penganjur bersama konsert berkenaan ialah Dembi Productions dan Heart-Art Production. Konsert tersebut dijadual turut menampilkan aktres Malaika Arora, Vaani Kapoor, Sanya Malhotra serta penari Prabhu Deva.

Di sebalik kenyataan penganjur konsert ditangguh, Hrithik memaklum dan mengesahkan konsert tersebut dibatalkan terus. Makluman ini dicatatkan dalam Instagramnya pada 30 November ditujukan kepada peminat di Malaysia.

Menurutnya, walaupun dia sendiri begitu teruja untuk datang lagi ke negara ini selepas kali terakhir lapan tahun lalu, hajat tidak kesampaian. Namun dia berterima kasih kepada penganjur kerana usaha untuk mengadakan konsert berkenaan.

Pihak penganjur pula memberitahu, pembatalan itu adalah dengan persetujuan bersama di antara mereka. Pihak mereka juga akan membayar balik harga tiket yang telah dibeli oleh peminat. Cuma peminat mungkin tertanya-tanya sebab sebenar pembatalan.

Apa pun kawan-kawan Kedai Kopi berharap peminat tidak terlalu sedih Hrithik tidak jadi datang ke ibu kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas