Berita

PESAYA-14: Latihan berterusan, semangat ingin menang kunci kejayaan pemain – Badrul

BADRUL dalam aksi menentang Yayasan Kelantan semalam.
- Diterbit 15 Februari 2023 5:15 AM MYT

LATIHAN berterusan serta semangat inginkan kemenangan antara kunci kejayaan bagi seseorang pemain badminton profesional mahupun mereka yang masih baru dalam sukan ini.

Atlet badminton Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA), Muhammad Badrul Amin Amran, 25, turut berpendapat bahawa ia perlu selain pelbagai kepakaran serta kemudahan disediakan.

“Pemain perlu melakukan latihan intensif untuk terus kekal konsisten selain sentiasa menggilap teknik-teknik baharu dalam perlawanan bagi mempersiapkan diri agar tidak gentar semasa berada di gelanggang.

“Pemain profesional juga memerlukan masa untuk menjadi mahir apatah lagi mereka yang baru mahu menjinakkan diri dalam dunia badminton ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Mengulas mengenai permainannya menentang Yayasan Kelantan, Sabah dan Perak, Badrul berkata ia merupakan satu cabaran baharu kerana dirinya ditugaskan sebagai pemain perseorangan.

“Kalau di luar, saya dalam sektor beregu lelaki namun di sini saya perlu bermain sebagai pemain perseorangan dan itu merupakan cabaran serta pengalaman yang baharu.

“Ketika menentang Kelantan saya tewas di rubber set kerana stamina yang kurang manakala Sabah pula pihak lawan lebih berpengalaman dan senior,” ujarnya yang juga pemain di Azman Amman Akademi Badminton.

Badrul berkata meskipun kecewa kerana tidak layak ke peringkat suku akhir namun ia akan menjadi pembakar semangat buat dirinya yang bakal menyertai kejohanan luar pada Mac ini.

BADRUL (kanan) dan Jeffry (kiri).

Ditanya mengenai penglibatannya dalam sukan ini, menurut Badrul, dia seringkali melihat ayahnya berlatih dan bermula daripada situ jugalah minatnya timbul untuk bergiat aktif.

“Ayah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya teknik-teknik sukan badminton dan sebagainya. Selain itu, saya juga sering mengikutinya menyertai kejohanan. Melalui itu jugalah saya mengetahui serba sedikit selok-belok tentang sukan ini,” ujarnya yang telah berkecimpung selama 13 tahun dalam sukan badminton. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas