Berita

PESAYA-14: Jeffry puas hati prestasi di Sarawak

AKSI Jeffry ketika menentang Yayasan Sabah.
- Diterbit 15 Februari 2023 1:11 AM MYT

MESKIPUN tewas di peringkat kumpulan pada temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA), namun pemain badminton Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Jeffry Raynie Yaming, 27, masih berpuas hati dengan prestasinya.

Jeffry yang pertama kali mewakili YWP berkata temasya kali ini memberikan pengalaman buat dirinya dan akan memperbaiki kelemahan.

“Saya sangat berpuas hati dengan permainan semalam kerana telah lakukan yang terbaik meskipun tewas.

“Ini merupakan acara berkumpulan, sekiranya saya menang namun ahli yang lain tewas ia masih tidak melayakkan YWP untuk ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Wilayahku.

JEFFRY mencatatkan kemenangan ke atas Yayasan Sabah menerusi acara mix double.

Tambahnya antara kesukaran yang dialaminya adalah ini merupakan kali pertama beraksi di pentas PESAYA.

“Tim YWP tidak dapat menjangka corak permainan dari yayasan negeri lain kerana tiada pengalaman tambahan pula saingan yang diberikan Yayasan Sabah dan Kelantan sangat sengit. Mereka mempunyai pasukan yang solid bagi setiap kategori.

“Kita hanya fokus untuk berikan yang terbaik. Sekiranya menang itu adalah bonus dan selebihnya adalah pengalaman,” ujarnya yang menceburi sukan badminton sejak berumur 13 tahun.

Jeffry berkata sasaran awal adalah untuk memenangi tiga mata pada setiap perlawanan namun ia gagal dicapai di atas beberapa faktor.

Terdahulu, Jeffry memenangi mata menerusi acara mix double ketika menentang Yayasan Sabah dan single dalam perlawanan menentang Yayasan Perak. YWP memenangi 4-1 ke atas Perak namun tewas kepada Sabah (2-3) dan Kelantan (0-5). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas