Biz

Penyakit unik cetus inspirasi perniagaan spa

- Diterbit 26 Februari 2024 3:56 PM MYT

SEMUA wanita ingin kelihatan cantik sehingga berhabis duit melakukan perawatan kecantikan untuk kelihatan anggun, namun berapa ramai pula yang sanggup berbelanja untuk menjaga kesihatan?

Jika diri tidak dirawat dengan sebaiknya maka kecantikan pun tidak memberi makna kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah pun bergelar isteri dan ibu.

Menyedari perkara tersebut, pemilik Bondahavent Spa, Dr Tengku ‘Atiqah Tengku Mahmood mengambil peluang membantu wanita berdepan masalah unik yang hanya difahami oleh mereka yang sudah melaluinya sahaja.

DR TENGKU ‘ATIQAH

“Saya mempunyai dua orang anak dan sering menghadapi masalah penyusuan. Ketika itu, saya tak tahu nak tanya siapa, walaupun saya seorang doktor namun diri sendiri pun tidak mampu menyelesaikannya.

“Dari situ saya terfikir untuk membuka sebuah pusat untuk golongan ibu yang menghadapi masalah seperti ini. Pada permulaannya fokus kita kepada penyusuan dan saya sendiri mengambil kursus menjadi penasihat penyusuan,” ujarnya yang membuka spa di Bangi enam tahun lalu.

Mempunyai pakar fisioterapi terlatih yang terdiri daripada wanita, Tengku ‘Atiqah berkata sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan Bondahavent Spa telah membantu ribuan wanita di luar sana untuk mengembalikan keceriaan dalam hidup.

“Alhamdulillah saya bersyukur dapat berbakti kepada masyarakat, sekurang-kurangnya menyelesaikan kegusaran mereka. Biarpun nampak kecil tetapi percayalah bila rasa tidak selesa menghantui diri, ia mampu menimbulkan tekanan tanpa disedari,” ujarnya.

Bercerita lanjut, wanita berusia 37 tahun ini mengakui perjalanannya dalam bidang perniagaan spa tidaklah semudah yang disangka. Malah, dia pernah berdepan situasi getir ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19.

“Ketika itu spa terpaksa ditutup kerana ia dikategorikan di bawah pusat hiburan. Saya hampir berputus asa tetapi apabila ramai pelanggan yang mengadu tak ada orang nak tolong mereka waktu sakit, saya jadi lebih kuat dan bersemangat.

“Saya sedar waktu itu, bukan saya seorang yang menderita bahkan pelanggan juga turut sama berduka,” ujarnya yang kini telah pun mendaftarkan spa miliknya sebagai pusat fisioterapi.

Seiring masa berlalu, Bondahavent Spa semakin kukuh dan berjaya merangkul pelbagai anugerah antaranya APSCW Best Wellness Menu 2023, Lux Parent & Baby Awards Best Lactation Consultancy 2023 sekali gus membuktikannya mampu bersaing.

“Bagi meluaskan lagi perniagaan, sebuah cawangan dibuka tiga bulan lalu di Ampang. Di sana kami mempunyai mesin teknologi baharu untuk masalah postpartum di mana para ibu selepas bersalin mengalami regangan otot perut. Selain itu, mesin tersebut juga merawat masalah terkucil yang dihadapi.

“Besar harapan saya agar wanita di luar sana menggunakan kesempatan yang ada untuk merawat diri kerana ia boleh berlarutan jika tidak dirawat. Semua perlu sedar tanpa kesihatan, tiada ertinya kecantikan yang dimiliki,” ujarnya Bondahavent Spa mendapat penarafan empat bintang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bagi pembaca Wilayahku, anda layak untuk menerima diskaun rawatan di mana-mana cawangan Bondahavent Spa dengan menggunakan kod ‘Wilayahku.’ – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas