Fokus

Pembawa virus sepanjang hayat

RISIKO HIV kekal sepanjang hayat di dalam tubuh badan pesakit - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Februari 2024 3:05 PM MYT

HUMAN Immunodefiency Virus atau HIV merupakan penyakit berisiko yang kekal sepanjang hayat di dalam tubuh badan seseorang yang menghidapnya. Sekali dijangkiti, tahap kesihatan akan merosot kerana ia akan menyerang sistem imunisasi tubuh sekali gus melemahkan keupayaan untuk melawan kembali jangkitan dan penyakit tersebut.

Walau bagaimanapun, pengetahuan tentang maksud, cara dan langkah mencengah penyebarannya adalah antara usaha yang sedang digerakkan oleh semua pihak termasuklah diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk menghindari daripada dijangkiti.

Ketua penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Raudah Abd Rahman berkata HIV merupakan sejenis virus daripada kumpulan retrovirus yang boleh melemahkan sistem ketahanan badan dan keupayaan seseorang melawan jangkitan secara optimum.

Beliau berkata individu yang disahkan HIV positif akan digelar sebagai pembawa HIV di mana ia akan membawa virus tersebut sepanjang hayat.

“HIV juga adalah virus yang menyerang sel darah putih iaitu sel CD4 (Sel T) iaitu sistem yang membantu imun melawan sebarang jangkitan. Sekiranya bilangan sel CD4 di dalam badan berkurangan, individu itu lebih cenderung mendapat jangkitan yang teruk dan sesetengah jenis kanser jika tidak dirawat.

“Malah, jika tidak dirawat, sistem imunisasi pesakit HIV akan merosot sehingga ke peringkat akhir HIV iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Melawat Penyakit (AIDS),” jelasnya.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan jangkitan HIV berlaku kepada seseorang, Dr Raudah menjelaskan HIV hanya boleh merebak melalui tiga cara iaitu perkongsian jarum dadah suntikan tercemar dengan virus HIV, hubungan seks berisiko dengan pasangan positif HIV atau tidak diketahui status HIV dan penyebaran HIV daripada ibu kepada anak sama ada ketika mengandung, melahirkan atau semasa menyusu.

“Namun, risiko untuk anak dijangkiti HIV daripada ibu adalah lebih tinggi sekiranya ibu telah disahkan positif HIV dan tidak menerima sebarang rawatan daripada mana-mana klinik kesihatan mahupun hospital.

“Bagaimanapun, banyak mitos yang mengatakan jangkitan HIV boleh merebak melalui air liur, sentuhan dan peluh namun ia tidak benar kerana HIV hanya boleh merebak melalui tiga cara tersebut,” ujarnya.

Menurut Dr Raudah, terdapat perubahan dalam landskap faktor risiko penularan jangkitan HIV sama ada di Malaysia mahupun di dunia.

“Pada awal 1990-an, majoriti kes baru HIV di Malaysia disebabkan perkongsian jarum dadah suntikan. Namun kini, majoriti kes baru HIV adalah disebabkan hubungan seks yang berisiko.

“Pada tahun 2023, daripada 357 kes baru HIV yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, lebih 90 peratus adalah disebabkan hubungan seksual berisiko manakala hanya empat kes baru HIV disebabkan perkongsian jarum dadah suntikan. Perubahan landskap faktor risiko ini menyebabkan bilangan kes baru HIV mendatar sahaja iaitu tidak menunjukkan peningkatan atau penurunan yang ketara terutama sejak 10 tahun kebelakangan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas