Artikel

Kebajikan bagi warga tua

BANYAK negara maju sudah ada dasar tertentu untuk memanfaatkan pengalaman warga tua. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2023 3:50 AM MYT

MENJADI tua bukan pilihan tetapi anugerah. Sekalipun begitu bukan semua orang tua berpeluang menjalani kehidupan tua yang sejahtera terutama dalam masyarakat di negara-negara yang mundur dan rendah sivik.

Di negara-negara maju, peningkatan usia hingga ke tahap warga tua dilihat sebagai gedung pengalaman yang dimanfaatkan. Malah tidak wajar dibiarkan menjalani kehidupan yang terbuang seperti barang yang luput tarikh.

Oleh kerana itu banyak dasar digubal bagi memastikan golongan tua terbela dan berpeluang menyumbang kepada masyarakat. Sekalipun bukan semua orang tua berpengalaman dalam bidang tertentu, tetapi sesetengah dalam kalangan mereka memang gedung ilmu dan pengalaman.

Pembuat-pembuat dasar yang masih muda perlu memikirkan hal orang tua. Merekalah yang menjadi penentu kelangsungan hidup golongan tua pada masa depan.

Menurut laporan Bank Dunia pada 2020, Malaysia diramal menjadi negara tua pada 2044. Walaupun begitu dasar-dasar sosial yang boleh mendokong matlamat mengurangkan tekanan hidup golongan warga tua belum nampak jelas.

Dalam keadaan peralihan demografi yang terus bergerak itu sepatutnya kepedulian terhadap warga tua lebih pantas, bukan perlahan dan hampir tidak kelihatan. Dalam hal ini kesungguhan politik perlu memainkan peranan dengan ketara bagi mencapai matlamat tersebut.

Tetapi setakat ini belum nampak dengan jelas pelan tindakan yang proaktif selari dengan negara-nagara maju lain dalam isu peralihan demografi dan meningkatnya populasi warga tua. Kalau dibandingkan dengan Singapura misalnya, negara kita mungkin agak jauh untuk sampai ke tahap di negara itu.

Dalam carian di Internet ada ditemukan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang antara kegiatannya mengadakan Sambutan Hari Warga Emas. Setakat ini tidak dilaporkan dengan lengkap pelan dan dasar khusus untuk warga tua.

Perlaksanaan undang-undang adalah suatu yang sangat penting dalam memastikan kedudukan kewangan warga tua terjamin. Pada masa yang sama dapat memanfaatkan kemahiran atau pengalaman dalam bidang-bidang tertentu. Inilah sumbangan warga tua kepada masyarakat.

Mungkin ada yang bertanya, siapakah yang dikelaskan sebagai warga tua?

Menurut definisi yang digunakan oleh Bank Dunia atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), warga tua adalah mereka yang berusia lebih 65 tahun. Di beberapa negara terutamanya yang mundur, individu yang sebaya itu berdepan tanggapan sebagai warga yang membebankan.

Sekalipun begitu, peribahasa Melayu, ‘kelapa tua semakin banyak santannya’ tetap berasas dan ada kebenarannya. Banyak dalam kalangan mereka kaya dengan pengalaman dan ini boleh menyuntik semangat kepada orang muda.

Sebenarnya pengalaman adalah suatu yang abstrak – tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau diukur dengan angka. Pengalaman diperoleh daripada kejadian yang dilalui pada garis masa kehidupan. Maknanya semakin panjang usia seseorang itu memungkinkan lebih banyak pengalaman dikutip daripada kehidupan.

Sekalipun begitu pengalaman berkenaan tidak bermakna sekiranya tanggapan bahawa warga tua suatu beban tidak diubah. Menjadi tua tidak wajar menjadi satu hukuman kepada mana-mana individu sekali gus menafikan kepedulian sosial dan psikologi yang selayaknya.

Nasib terbela

Sekarang ini dunia sedang berdepan dengan krisis peralihan demografi apabila meningkatnya populasi warga tua. Keadaan sedemikian menjadi pemangkin wujudnya masyarakat tua (ageing society). Seterusnya menjadikan negara tua (ageing state) apabila jumlah warga tua melintas garis 15 peratus daripada populasi.

Bagaimanapun kesedaran sosial yang tinggi dalam masyarakat dan pembuat dasar di negara-negara maju telah menjadikan golongan warga tua lebih terbela. Langkah proaktif sesetengah negara menjadikan warga tua lebih bernilai dan pengalamannya terus dimanfaatkan.

Akan tetapi semua yang dikatakan itu menuntut perubahan pemikiran yang holistik dalam kalangan pembuat dasar, keterbukaan masyarakat termasuk majikan dan seterusnya oleh keluarga. Secara mudah dasar-dasar yang berteraskan kemanusiaan memungkinkan warga tua hidup gembira hingga ke akhir hayatnya.

World Population Prospect (Revision 2019) melaporkan, pada 2050 dijangka satu daripada enam penduduk dunia berusia 65 tahun ke atas. Pada masa yang sama populasi 143 juta penduduk dunia berusia 80 tahun pada 2019 dijangka meningkat pada 426 juta pada 2050.

Pada 2010 Bank Dunia pula melaporkan, buat pertama kali dalam sejarah populasi penduduk berusia 65 tahun ke atas mengatasi populasi kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah. Peralihan demografi ini menuntut kesedaran semua pihak – pembuat dasar, ahli masyarakat dan keluarga.

Oleh kerana itu, banyak negara maju sudah ada dasar-dasar tertentu untuk memanfaatkan pengalaman warga tua. Dasar itu sebenarnya berkonsepkan serampang dua mata – menghindarkan warga tua daripada terasing dan memindahkan pengalaman kepada generasi yang lebih muda.

Jepun misalnya, sejak tahun 2000 sudah memperkenalkan beberapa dasar dan insentif bagi mengurangkan beban keluarga yang mempunyai warga tua. Antaranya mewujudkan pelan insurans yang memberi perlindungan hingga berusia lebih 80 tahun.

Kemudian pada tahun 2011, kerajaan Jepun mewujudkan pusat penjagaan yang khusus untuk warga tua selain membangunkan teknologi perubatan untuk menangani penyakit yang sering dihidapi oleh golongan itu.

Ini juga serampang dua mata – meningkatkan tahap kesihatan dan mewujudkan industri yang dapat mengurangkan belanja penjagaan kesihatan kepada warga tua.

Menurut satu statistik, ketika ini 25 peratus daripada populasi Jepun terdiri daripada warga tua. Keadaan ini dijangka meningkat hingga 40 peratus menjelang tahun 2060. Sekalipun Jepun adalah sebuah masyarakat teknologi, mereka tetap mempunyai kesedaran sosial dan tanggungjawab kemanusiaan yang tinggi dalam isu warga tua.

Negara jiran kita, Singapura juga sudah jauh di depan dalam memastikan kebajikan kepada warga tua. Pada 2019 sebanyak 15 peratus daripada populasi Singapura terdiri daripada warga tua. Dijangka pada 2030 seorang warga tua dalam empat penduduk Singapura yang bekerja dan berusia antara 20 hingga 64 tahun.

Untuk berdepan dengan keadaan itu, kerajaan menggubal beberapa akta bagi melindungi warga tua daripada sudut kewangan dan sosial. Antaranya menggubal Maintenance Act dan Retirement and Reemployment Act. Penguatkuasaan secara undang-undang kedua-dua akta ini memperlihatkan ketegasan kerajaan terhadap kebajikan warga tua.

Penguatkuasaan undang-undang juga meliputi dalam kalangan majikan. Misalnya melalui The Retirement and Reemployment Act telah menambah usia persaraan pada 62 tahun. Dalam pada itu majikan secara undang-undang diarahkan mengambil warga tua bekerja semula sekiranya ada permohonan.

Masa depan orang tua mesti difikirkan oleh golongan yang lebih muda. Bukan hanya untuk orang lain, malah sesiapa sahaja yang dianugerahkan kesihatan yang baik berpeluang menjadi orang tua – termasuk golongan muda hari ini.

Memikirkan masa depan dan kepentingan orang tua adalah mengambil endah masa depan sendiri. Mulai sekarang yang ada kuasa bolehlah merangka dasar tertentu menjurus kebajikan orang tua. Hidup sentiasa menuju ke depan. Apabila sampai masanya mereka yang kini masih muda yang menikmati hasil daripada dasar berkenaan.

KU SEMAN KU HUSSAIN, Wartawan Bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas