Berita

Peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

- Diterbit 8 Februari 2021 6:53 AM MYT

SEORANG peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak tiri perempuannya berusia 13 tahun pada tahun lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun semasa kejadian pada Jun dan Julai tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Banjar, Ayer Tawar, Manjung. Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Dis lalu di alamat sama.

Dia dituduh menurut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin disebabkan rumah lelaki itu dan rumah ibu saudara mangsa yang menjadi tempat tinggalnya selepas kematian ibu pada April tahun lalu terletak hanya kira-kira 50 meter.

Terdahulu, Syahrul Nizam Mohd Rabi memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan anak guamnya mempunyai masalah lembam selain menawarkan syarat tambahan iaitu lelaki tersebut akan berpindah ke lokasi yang lebih jauh selain dua syarat yang boleh ditetapkan oleh hakim.

Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa tanpa tertuduh perlu berpindah ke tempat lain seperti syarat yang ditawarkan oleh pihak pembelaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas