Berita

12 maut letupan bom di Somalia

Smoke billows from the scene of a car bomb explosion in the Kilometre 4 area of Mogadishu, Somalia January 31, 2021. REUTERS/Feisal Omar
- Diterbit 8 Februari 2021 6:49 AM MYT

SATU letupan bom di tengah Somalia mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang pada Ahad, termasuk seorang ketua perisikan tempatan, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai.

Serangan yang turut mencederakan beberapa yang lain itu, menyasarkan kenderaan Ketua Perisikan dan Keselamatan Wilayah Dhusamareb, Abdirashid Abdi Qooje ketika melalui perkampungan Eldhere 30 kilometer di sebelah barat Dhusamareb, ibu kota pentadbiran Galmudug.

Kejadian dan jumlah korban itu disahkan seorang pegawai keselamatan di wilayah itu.

“Sebuah kenderaan tentera yang membawa ketua perisik Dhusamareb, Abdirashid Abdi Qooje, diserang ketika dalam perjalanan antara kota Eldhere dan Guriel, membunuh beliau dan 11 pengawalnya,” katanya.

Beberapa yang lain, termasuk tiga askar, turut cedera dan dibawa ke hospital di Dhusamareb untuk rawatan.

Media tempatan melaporkan kejadian itu telah mengorbankan 14 orang.

Al-Shabaab, sebuah kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Al Qaeda, berpusat di Afrika, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Ia pengeboman ketiga di Somalia dalam tempoh 24 jam lalu. Seorang awam terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam letupan bom pada petang Sabtu di ibu kota Mogadishu.

Pada Ahad, tiga tentera yang menjaga kawasan pembinaan lebuh raya Mogadishu-Afgoye cedera dalam satu lagi kejadian letupan bom di luar Mogadishu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas