Berita

50 peniaga terima kedai baharu

DATUK Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) meninjau tapak niaga Gerai Greenbelt, Pasar Datuk Keramat yang masih dalam pembinaan, pagi tadi.
- Diterbit 24 Mac 2022 9:44 AM MYT

50 penyewa Gerai Greenbelt, Pasar Datuk Keramat yang terlibat dengan insiden kebakaran pada 17 Mac lalu menerima kunci unit sewaan gerai, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, peniaga-peniaga yang terlibat dalam insiden berkenaan memperoleh unit gerai baharu selain tidak dikenakan caj pemasangan meter elektrik dan air kepada penyewa.

“Kejadian tersebut berlaku di saat seluruh masyarakat masih lagi berperang dengan impak COVID-19. Justeru itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bekerjasama dengan pihak Sinotech Properties Development Sdn Bhd untuk membina semula semua gerai-gerai di sini.

“Pihak Sinotech sebagai pemaju juga bermurah hati menanggung kos pemasangan meter TNB dan meter air di setiap unit gerai tanpa mengenakan sebarang kos kepada penyewa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci kepada penyewa-penyewa gerai Greenbelt, Pasar Datuk Keramat, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed; Pengarah Projek Sinotech Properties Development Sdn Bhd, Mohd Zaili Mohd Zainordin; Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (cawangan Keramat), Mohamed Tarmizi Mohamed Akil serta pegawai-pegawai kanan DBKL.

Menurut Shahidan, pembinaan semula gerai tersebut merupakan salah satu program dibawah CSR syarikat Sinotech Properties untuk membantu mereka kembali berniaga di kawasan yang lebih moden.

“Ini merupakan salah satu program CSR mereka yang mana ia dilaksanakan bagi menyokong cadangan pembangunan semula Pasar Datuk Keramat yang kini di peringkat perancangan bersama DBKL untuk mentrasformasikannya sebagai pasar moden yang lebih bersistematik, bersih dan selesa

“Pembinaan semula gerai tersebut melibatkan reka bentuk yang lebih moden berbanding sebelumnya di mana ia dilengkapi sistem pengudaraan lebih baik, pintu ‘roller shutter’ serta paip air individu di setiap unit gerai,” jelasnya yang turut mengatakan kos pembinaan melibatkan RM1.5 juta.

Beliau juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepadak pihak pemaju di atas bantuan dan jasa baik membangunkan semula kawasan ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak pemaju di atas kesudian membina semula gerai-gerai di samping membantu mereka yang terjejas untuk kembali berniaga di sini apabila telah siap sepenuhnya.

“Diharapkan ia dapat membantu para peniaga untuk kembali bangkit menjalankan perniagaan yang diusahakan terutama di bulan Ramadan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas