Berita

Ahli-Ahli Bekas Belia 4B corak kepimpinan negara

JALALUDDIN (kiri) menerima cenderahati daripada Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmaf Al-Hussaini pada Majlis Persidangan Agung Tahunan Belia 4B. JALALUDDIN (
- Diterbit 24 Mac 2022 12:52 PM MYT

GERAKAN Belia merupakan tonggak masa hadapan dalam pembangunan sesebuah negara maju dan mapan serta telah melahirkan ramai pemimpin muda sebagai pencorak kepimpinan negara khususnya Pertubuhan Bekas Ahli 4B di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebagai sebuah persatuan yang mempunyai hubungan dengan pelbagai syarikat dan industri, ahli-ahli bekas Belia 4B perlu menggalakkan generasi muda menyertai pertubuhan ini dan pada masa sama menguasai kemahiran insaniah dan ‘soft skill‘.

“Gerakan ini perlu mempunyai matlamat dan hala tuju baharu agar terus relevan dan mampu menarik lebih ramai belia untuk bekerjasama dan berani mendepani pelbagai krisis dengan idea serta kebolehan yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Majlis Persidangan Agung Tahunan kali ke-10 Pertubuhan Bekas Ahli 4B Wilayah Persekutuan bertempat di Sani Hotel Kuala Lumpur, semalam.

Persidangan itu turut dihadiri oleh Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Hussaini; dan wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi Alumni 4B Malaysia, Datuk Ahmad Ramizun Kamaruddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Persatuan diharapkan dapat menyambung ideologi perjuangan dalam organisasi sekali gus tidak membiarkan ia pupus ditelan zaman.

“Kita perlukan organisasi Alumni di mana-mana gerakan untuk meneruskan perjuangan yang selama ini dipikul oleh mereka sehingga hujung hayat kerana bersandarkan kepada pengalaman dan komitmen sebelum ini.

“Saya yakin bahawa mana-mana kepimpinan Alumni terutama Belia 4B akan menjadi sebuah pertubuhan berwibawa dan berkesan dalam menyambung ideologi yang pernah diketengahkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jalaluddin menyumbang RM30,000 kepada pertubuhan berkenaan untuk melaksanakan segala aktiviti yang telah dirancang pada tahun ini.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas