Berita

Peniaga desak penyelenggaraan dilakukan cepat

RUANG bawah Pasar Awam Presint 8.
- Diterbit 4 Februari 2020 8:01 AM MYT

PUTRAJAYA – Paip bocor, air bertakung. Keadaan tersebut bukan sahaja mengganggu operasi kira-kira 30 peniaga di tingkat bawah Pasar Awam Presint 8 di sini malah menyebabkan ketidakselesaan kepada pembeli.

Ini kerana, kebocoran terbabit dipercayai daripada paip saluran najis yang berada di bahagian atas dan kemudian menitik di hadapan pintu tandas awam.

Peniaga ayam, Mohd. Nazri Ahmadi berkata, aduan telah dilakukan tentang kebocoran tersebut kerana berlarutan lebih satu minggu.

“Aduan sudah dibuat, pegawai pasa pun ada datang tengok hari-hari tetapi mereka tidak melakukan apa-apa perubahan.

“Air ini menitik dan akan mengenai orang yang lalu di bawahnya. Sangat mengganggu peniaga dan pembeli,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Ahli Jawatan Kuasa Pasar Presint 8, Mustakim Mohd. Said pula, aduan sudah dilakukan tetapi penyelenggaraan masih belum dibuat.

Ujarnya, kawasan bertakung di bahagian luar pasar akibat saluran longkang yang tersumbat juga sering berlaku.

“Penyelenggaraan lambat sangat, kena dua tiga kali buat aduan baru ada tindakan. Pekerja pembersihan pun kurang melakukan tugas, hanya ada waktu pagi sahaja,” katanya.

Selain itu, Mustakim turut menyatakan rasa kesal kerana rak yang dihantar pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk bilik simpanan daging beku tidak dapat digunakan kerana masalah saiz selain diletakkan di ruang legar yang mengganggu laluan orang ramai.

Ujarnya, rak yang dimohon tersebut adalah untuk memudahkan pihak pasar mendapat persijilan halal bagi ayam proses. – WILAYAHKU

MUSTAKIM, menunjukkan rak penyimpanan daging beku yang tidak dapat digunakkan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas