Berita

Tateh perkenal mesin layan diri barang penyusuan pertama di Malaysia

SITI SHAFURAH bersama mesin Mom & Baby On The Go di hadapan Hospital Islam Az Zahrah, Bandar Baru Bangi.
- Diterbit 4 Februari 2020 6:56 AM MYT

BANDAR BARU BANGI – Syarikat pengeluar barangan kelengkapan ibu dan bayi popular, Tateh, membuka lembaran baharu 2020 dengan memperkenalkan mesin layan diri barang penyusuan pertama di negara ini.

SITI SHAFURAH

Menurut Pengasas jenama Tateh merangkap Pengarah Urusan Babymama Trading Sdn. Bhd., Siti Shafurah Abas, pelbagai barangan kelengkapan penyusuan dimuatkan di dalam mesin tersebut bagi memudahkan para ibu yang berada di hospital.

“Antara barangan yang terdapat di dalam mesin layan diri ini adalah plastik menyimpan susu ibu, lampin pakai buang, minyak angin, pad payudara dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui Wilayahku pagi tadi.

Siti Shafurah memberitahu, idea untuk menyediakan mesin tersebut muncul berdasarkan pengalamannya ketika bersalin sebelum ini.

“Dalam keadaan yang tergesa-gesa, biasanya para ibu akan terlepas pandang barang-barang penting untuk dibawa sebagai persediaan ke hospital,” ujarnya.

Mengulas lanjut Siti Shafurah berkata, buat masa ini mesin yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) diletakkan di Hospital Islam Az Zahrah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Kita masih dalam proses perbincangan menempatkan Mom & Baby On The Go di rangkaian hospital kerajaan dan swasta terpilih di sekitar Lembah Klang. Insya-Allah dalam masa terdekat, ia akan diperluaskan,” ujarnya.

Menggunakan teknologi dari Jepun, mesin layan diri berkenaan menggunakan sepenuhnya aplikasi e-Dompet. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas