Berita

Penguatkuasaan perlu ditingkatkan – PM

- Diterbit 4 Februari 2021 12:31 PM MYT

PENUTUPAN premis dan tindakan perundangan kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah antara tindakan yang bakal dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata tindakan itu adalah antara pindaan di dalam  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil.

“Pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan kepada SOP.

“Justeru, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta 342 yang perlu dipinda,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen utama negara.

Dalam perutusan kira-kira 40 minit itu, Muhyiddin menjelaskan ada enam pindaan yang sedang diteliti, yang antara lain melibatkan arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu katanya tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan juga bakal diambil kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan juga melibatkan aspek perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan.

“Malahan tindakan kompaun yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran selain  penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP,” katanya.

Muhyiddin berkata menerusi pindaan itu, penjawat awam juga tidak terlepas dari tindakan jika tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

Pada Jan 16 lepas, Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang pertama dipengerusikan Muhyiddin meluluskan penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat; meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian; menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri dan mengetuai pemantauan serta naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas