Selebriti

Penghibur, penceramah raikan Maulidur Rasul menerusi Muhammad Kekasih Agung

Namanzee Harris
- Diterbit 18 Oktober 2021 5:46 AM MYT

TV AlHijrah bakal melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menggabungkan dua orang penceramah terkenal bersama sepuluh penghibur tanah air menerusi rancangan Muhammad Kekasih Agung bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul di studionya yang kini berwajah baharu.

Rancangan Muhammad Kekasih Agung adalah sebuah program seni persembahan Islami yang akan disiarkan secara langsung selama dua jam, iaitu bermula jam 9 malam hingga 11 malam, 19 Oktober ini.

Rancangan ini mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul TV AlHijrah iaitu Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dengan menggabungkan bacaan Al-Quran, qasidah, selawat, monolog, sajak, tausiah serta nyanyian tentang Rasulullah.

Seawal jam 6 petang, penonton boleh menonton Di Ambang Muhammad Kekasih Agung yang menampilkan Ustaz Jalaluddin Mohd Zaiki bagi meninjau persiapan belakang tabir krew dan juga personaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkongsi aspirasi tentang penerbitan rancangan ini yang dijangka bakal mencatat peratusan tontonan yang tinggi.

“Kekuatan rancangan Muhammad Kekasih Agung terletak pada gabungan dua elemen utama dalam penerbitan sesebuah rancangan hiburan Islami. Pertama, sudah semestinya objektif serta konsep rancangan.

“Kami pilih untuk terbit dan siar rancangan ini kerana sebagai umat Islam, semua sedia maklum bahawa pintu utama untuk meraih kecintaan Allah SWT terhadap kita semua adalah melalui kekasihNYA iaitu Baginda Rasullullah.

“Rancangan ini mencipta rasa rindu kepada Nabi Muhammad kerana kita bawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan Baginda bermula detik kelahiran, kisah sebelum kenabian, detik wahyu diturunkan, cabaran dakwah, tahun dukacita, Isra’ dan Mikraj, hijrah ke Madinah, khutbah terakhir hinggalah saat kewafatan Nabi.

“Keduanya, kami tampilkan penceramah hebat serta penghibur berdedikasi yang memiliki ilmu, kekuatan vokal serta penghayatan penuh emosi dalam menyingkap semula tabir perasaan cinta para penonton kepada Nabi Muhammad.

KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

Menurut Namanzee, selain Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Jafri Abu Bakar yang akan menyampaikan tausiah, Faizal Tahir, Dato’ Hattan, kumpulan Kopratasa, Daqmie, Ijam Medicine, Naqiu, Datin Alyah, Ustazah Sharifah Khasif serta kumpulan nasyid Zayne turut dipilih bagi membuat persembahan.

Selain itu, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain sempena Maulidur Rasul seperti siaran langsung Hijrah Anak Muda pada 18 Oktober pukul 6.00 petang, siaran langsung Di Ambang Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober pukul 6.00 petang, siaran langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober pukul 4.30 petang, Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober pukul 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober pukul 9 malam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas