Berita

Penggunaan 30% tenaga solar untuk semua projek baru – DBKL

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, mengharapkan sokongan dan dorongan daripada semua pihak dalam penggunaan 30 peratus tenaga solar untuk semua projek baru. Kredit foto oleh: TheStar DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, mengharapkan sokongan dan dorongan daripada semua pihak dalam penggunaan 30% tenaga solar untuk semua projek baru.
- Diterbit 18 Mei 2021 2:48 AM MYT

SEMUA projek pembangunan masa hadapan di Kuala Lumpur, sama ada secara komersial atau kediaman, perlu menggunakan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga solar.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menegaskan keperluan itu kini menjadi sebahagian daripada syarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikenakan terhadap projek pembangunan baru.

“Kami telah mengenakan syarat ini dalam proses persetujuan, dan pemaju kini mesti memasukkan syarat tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan projek mereka.

“Kita mesti bergerak seiring dengan masa kerana tenaga yang boleh diperbaharui (solar) adalah sebahagian dari masa hadapan.

“Tenaga yang boleh diperbaharui dapat membantu memerangi pelepasan gas rumah hijau, lebih bersih dan lebih baik untuk alam sekitar,” kata Mahadi dipetik daripada laporan Starmetro.

Mahadi berharap dapat melihat lebih banyak bangunan dan harta tanah kediaman di bandar beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui kerana ia akan menjadi lebih murah dalam jangka masa panjang.

Katanya, teknologi hijau adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban kewangan pengguna.

“DBKL membelanjakan purata sebanyak RM76 juta setahun untuk bil elektrik.

“Ini diperlukan untuk meningkatkan aset bandar seperti lampu jalan, taman, pejabat, balai raya, kemudahan sukan, stadium dan kemudahan lain.

“Sekiranya kita mengurangkan penggunaan kuasa, kita dapat menggunakan wang itu untuk perkara lain seperti membina lebih banyak infrastruktur untuk mempromosikan hidup yang lebih sihat,” katanya.

Menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui juga bermaksud dapat meningkatkan kesihatan awam.

“Selain dari fakta bahawa ianya lebih bersih dan kurangnya pelepasan karbon yang akan berlaku, masyarakat menjadi lebih sihat dan kadar jangka hayat juga akan lebih lama,” tambah Mahadi.

Ketika ditanya apakah akan ada langkah untuk mendorong warga Kuala Lumpur untuk menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui, dan apakah pihak DBKL akan mempertimbangkan rebat penilaian untuk isi rumah yang memiliki panel solar, beliau berkata, “Topik itu memerlukan perbincangan yang lebih lanjut dan banyak perancangan perlu dilakukan.

“Ini bukan sesuatu yang dapat kita laksanakan begitu sahaja tanpa mempertimbangkan semua faktor dan aspek.

“Tetapi itulah sebabnya saya terus menekankan bahawa keterlihatan sangat penting dan projek Seksyen 1 Wangsa Maju – sifar karbon akan menjadi bahan uji kaji,” tambahnya.

Mahadi berkata, pihak DBKL memerlukan perniagaan dan penduduk untuk ikut serta dalam menjayakan rancangan dan projek tersebut.

“Dalam jangka masa panjang, beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui adalah lebih baik dan akan membantu dalam mengurangkan penggunaan elektrik.

“Kami memerlukan sokongan dan dorongan termasuk daripada pihak media,” tambahnya. -WILAYAHKU – SABRINA SABRE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas