Pengangguran dalam kalangan miskin bandar di KL meningkat sekali ganda sejak September – UNICEF

Pengangguran dalam kalangan miskin bandar di KL meningkat sekali ganda sejak September – UNICEF

PENGANGGURAN dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah di bandaraya Kuala Lumpur telah meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada tahun lepas, demikian menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

UNICEF dalam kenyataan hari ini memaklumkan survei oleh UNICEF dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember tahun lepas menunjukkan bahawa situasi sosioekonomi bagi kira-kira separuh daripada jumlah isi rumah yang dikaji terus merosot.

Berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua keluarga telah meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus pada Disember 2020 manakala satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur.

“Pengangguran dalam kalangan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjadi ketua keluarga juga meningkat masing-masing kepada 13.4 peratus dan 50 peratus.

“Kadar kemiskinan dalam kalangan kesemua keluarga ini kekal tinggi pada 42 peratus meskipun mendapat bantuan kerajaan bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh tersebut dan kemiskinan lebih ketara dalam kalangan wanita dan OKU yang menjadi ketua keluarga (55 peratus) dengan satu daripada dua dan enam daripada 10 keluarga hidup dalam kemiskinan,” menurut kenyataan itu.

UNICEF berkata kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga yang diketuai wanita meningkat daripada 47 peratus pada September 2020 kepada 61 peratus pada Disember 2020 dan trend sama berlaku dalam kalangan keluarga yang diketuai OKU dengan lebih separuh (55  peratus) adalah miskin tegar manakala hampir semua hidup dalam kemiskinan relatif (98 peratus).

Wakil UNICEF di Malaysia merangkap Wakil Khas agensi badan dunia itu ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata data terkini daripada Families on the Edge itu mencadangkan bahawa meskipun keadaan sesetengah keluarga sudah mulai pulih, yang lain terus merosot dan pada awal pelaksanaan PKP 2.0, hampir mencapai tahap paling teruk.

“Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial untuk golongan yang paling rentan termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup yang disasarkan terutama untuk mereka yang bekerja sendiri.

“Kami telah memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga yang memerlukan,” katanya

Menurut Wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi, dinamik sosial kesemua keluarga ini akan berubah apabila mereka melakukan yang terbaik dalam mendepani situasi ekonomi yang semakin memburuk.

“Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran; secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.

“Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan tentunya individu yang menjaga mereka,” katanya.

Bahagian 3 laporan Families on the Edge adalah berdasarkan pengumpulan data pusingan ketiga yang menggambarkan status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Bahagian keempat dan terakhir akan dikeluarkan pada April 2021. – BERNAMA

 

CATEGORIES
TAGS