Berita

Pencarum Muslim digalak beralih ke Simpanan Syariah

- Diterbit 15 Mac 2024 10:45 AM MYT

MASYARAKAT Islam di negara yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digalakkan untuk beralih ke Simpanan Syariah.

Ramai yang memilih untuk mencarum dengan Simpanan Konvensional kerana mahukan pulangan dividen yang lebih besar namun dapat dilihat jurang perbezaan tersebut semakin mengecil.

Perbezaan kadar dividen Simpanan Konvensional dan Syariah pada 2023 sebanyak 0.10, 2022 (0.60), 2021 (0.45), 2020 (0.30) dan 2019 (0.45).

Jelas menunjukkan bagi tahun 2023 nilai jurang itu yang paling kecil berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata sebagai umat Islam, simpanan seharusnya bebas riba serta bersih.

“Kalau kita lihat, KWSP sendiri sudah bagi pilihan untuk meletakkan caruman dalam Simpanan Syariah, justeru lebih baik untuk beralih ke arah itu untuk lebih selamat,” katanya.

Menurut Ahmed Razman, wang yang akan digunakan ketika bersara kelak ada ketikanya juga akan dimanfaatkan bagi urusan ibadah haji dan sebagainya.

“Wang KWSP adalah wang kegunaan untuk persaraan atau masa tua nanti, ada juga untuk digunakan untuk tujuan ibadah.

“Adalah lebih baik jika pencarum-pencarum beragama Islam beralih ke Simpanan Syariah, supaya tiada keraguan atau was-was untuk menggunakan wang simpanan tersebut,” jelasnya.

Tambah Ahmed Razman, jurang dividen antara Simpanan Konensional dan juga Syariah juga tidak jauh perbezaannya.

“Jurang pulangan dividen pada tahun ini hanya 0.10 sahaja, mengapa memilih konvensional jika syariah juga sama banyak.

“Kalau lebih ramai pencarum Islam beralih ke syariah, maka ia akan meningkatkan jumlah aset yang boleh dilaburkan. Lebih besar aset dilabur lebih tinggi jumlah pulangan, sekali gus membuka ruang dividen yang lebih tinggi.

“Justeru itu, adalah digalakkan untuk menggunakan Simpanan Syariah di mana kita akan lebih yakin tentang penyucian wang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pakar kewangan Islam dan Syariah, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, dana KWSP bagi Simpanan Konvensional dilaburkan secara bercampur.

Malah menurut Zaharuddin, sebanyak 66 peratus pendapatan membabitkan nilai berjumlah RM50.7 bilion adalah daripada pelaburan tidak patuh syariah seperti perbankan konvensional, insurans, kadar faedah dan sebagainya.

“Mandat KWSP konvensional bebas melabur di industri halal dan tidak halal asalkan boleh bawa keuntungan, mereka juga menggunakan instrumen tidak patuh syariah, ke dalam syarikat tidak patuh syariah.

“Atas sebab itu bagi mereka yang mementingkan  halal dan keberkatan pada tahap maksimum, perlulah beralih ke akaun Simpanan Syariah atau lakukan pembersihan,” katanya.

Justeru itu, Zaharuddin memberitahu, adalah lebih baik untuk beralih ke Simpanan Syariah bagi memastikan kesucian wang simpanan tersebut.

“Menurut peruntukan perlembagaan dan undang-undang sedia ada, tiada pihak boleh memaksa sebarang peralihan ke akaun syariah atau pembersihan dividen, ia tertakluk kepada diri masing-masing.

“Namun sefaham saya sedang ada usaha dibuat untuk memastikan semua pendaftaran baru Muslim ke akaun syariah, kecuali mereka sendiri selepas itu memohon untuk keluar ke Simpanan Konvensional,” ujarnya.

Zaharuddin turut berkongsi mengenai statistik KWSP sehingga 31 Disember tahun lalu, jumlah pencarum Muslim seramai 8,882,184 di KWSP, hanya 1,785,250 sahaja yang telah berpindah ke Simpanan Syariah, iaitu 20.1 % sahaja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas