Berita

Isu sekolah vernakular, KPM seiring Akta Pendidikan 1996

FADHLINA ketika sesi tinjauan hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Jenjarom
- Diterbit 15 Mac 2024 10:50 AM MYT

ISU sekolah vernakular menjadi antara yang diperdebatkan dalam kalangan pengguna media sosial ketika ini. Pelbagai tuduhan dilemparkan antaranya mendakwa pihak kerajaan mengutamakan kaum lain berbanding Melayu.

Ia berikutan dakwaan sekolah tersebut tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama selain kewujudannya boleh menghalang perpaduan negara dan kaum.

Seharusnya semua pihak patut tahu dan ambil tahu bahawa sekolah vernakular diiktiraf oleh Akta Pendidikan sekali gus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpegang kukuh dengan peruntukan dalam akta itu.

Ia diakui oleh menterinya, Fadhlina Sidek bahawa KPM berdiri tegak bersandarkan Akta Pendidikan 1996 dan terus dengan pendirian tersebut.

Namun dalam masa yang sama akan memperkukuhkan bahasa kebangsaan di sekolah vernakular kerana ia memang merupakan antara agenda utama KPM untuk merealisasikannya.

“Itu memang agenda besar kita. Saya fikir dalam kedudukan hari ini, bahasa kebangsaan masih jadi keutamaan, di samping perkukuh bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Jenjarom, baru-baru ini.

Terdahulu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sekolah vernakular boleh menghalang perpaduan negara dan perpaduan kaum dan hanya aliran sampingan di negara ini serta tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular.

Ia merangkumi aspek keselarasan silibus, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penerapan nilai kenegaraan sekali gus mencadangkan kajian menyeluruh dan peluang penambahbaikan untuk menarik penyertaan murid berbilang bangsa.

Namun kenyataan tersebut dibidas bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy bahawa masalah perpaduan di negara ini bukan disebabkan sekolah sebaliknya disebabkan parti politik yang memainkan agenda kaum.

Jika dilihat secara lebih mendalam dari segi positif, murid-murid di sekolah vernakular sentiasa terbuka untuk menjalinkan silaturahim di antara bangsa lain yang ada di sekolah tersebut.

Malah, murid Cina berkawan baik dengan murid Melayu dan tiada isu menghalang perpaduan kaum dan sebagainya kerana sedari di bangku sekolah rendah lagi sifat setia kawan telah pun diterapkan dalam penyatuan antara kaum yang terdapat di sekolah berkenaan.

Selain itu, segelintir ibu bapa Melayu juga turut menjadikan sekolah vernakular sebagai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu kerana percaya dengan pendidikan yang ada di situ.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas