Berita

KWSP umum peningkatan dividen, jurang dua jenis simpanan dikecilkan

KWSP catat jumlah pendapatan pelaburan RM66.99 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2023
- Diterbit 15 Mac 2024 10:40 AM MYT

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.3 bilion dan 5.40 peratus untuk simpanan syariah berjumlah RM7.5 bilion.

Ia sekali gus menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2023 sahaja sebanyak RM57.8 bilion.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2022.

Sementara itu, sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan jurang di antara kadar dividen 2024 bagi simpanan konvensional dan syariah berjaya dikurangkan jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini.

Jika dilihat, perbezaan kadar dividen simpanan konvensional dan syariah pada 2023 sebanyak 0.10, 2022 (0.60), 2021 (0.45), 2020 (0.30) dan 2019 (0.45).

Jelas menunjukkan bagi tahun 2023 nilai jurang itu yang paling kecil berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata perbezaan jurang dividen tersebut adalah berdasarkan prestasi-prestasi saham berkaitan dengan teknologi terutamanya di Amerika Syarikat (AS) berprestasi lebih baik pada tahun 2023.

Beliau berkata, sebahagian daripada syarikat-syarikat teknologi tersebut adalah berkaitan syariah.

Tambahnya, ia jelas menunjukkan prestasi yang cemerlang akan menyokong pulangan yang baik bagi simpanan syariah.

“Prestasi pasaran ekuiti terutama di AS dipacu tujuh syarikat teknologi. Sebahagian syarikat teknologi adalah syarikat syariah, justeru pulangan dalam syariah meningkat,” katanya.

Menurut Ahmad Zulqarnain kepelbagaian portfolio dan pengurusan dana yang aktif membolehkan KWSP untuk mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk 2023.

“Agihan dividen RM57.81 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal,” katanya.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.

Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan itu, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.

Sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP mencecah RM1,135.82 bilion, di mana 62 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

Pelaburan asing menjana RM35.28 bilion, atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.

Sebanyak RM58.97 bilion daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan dijana untuk simpanan konvensional, dan RM8.02 bilion untuk simpanan syariah.

Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56 bilion, naik sebanyak 15 peratus daripada 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas