Berita

Pemimpin Parti Komunis China lawat Malaysia untuk kukuhkan hubungan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Mac 2024 10:20 PM MYT

MENTERI Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Liu Jianchao melakukan lawatan kerja ke Malaysia dari 28 hingga 29 Mac ini.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan itu menyasarkan untuk menjalinkan kerjasama lebih erat antara parti politik di kedua-dua negara selain membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Di dalam rangka lawatannya, Liu telah melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semasa bertemu dengan Mohamad hari ini, mereka telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk perdagangan dan pelaburan selain hubungan antara rakyat.

Liu juga akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengakhiri lawatan kerjanya ke negara ini.

Wisma Putra berkata lawatan ini menambah makna kepada Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China semenjak hubungan kedua-dua negara ini telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut. Pada 2023 jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion (US$ 98.80 bilion). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas